Monday, July 5, 2010

MENU - KUIH AKOK

Mempunyai rasa yang enak dan manis,berwarna hijau pucat dan amat sesuai dijadikan hidangan di waktu petang.Jikalau anda bijak rupawan apakah kuih istimewa ini? 




Kuih Akok merujuk kepada sejenis kuih tradisi tradisional yang popular di Malaysia, terutama di negeri Terengganu. Terdapat 2 jenis kuih akok iaitu biasanya dibuat berbentuk bujur, ikut acuan buah ulu dan akok bunga atau dikenali juga akok Kemboja. Akok rasanya manis bertelor. Cara pengandungan dan pembakaran merupakan faktor yang menjadikan sesuatu kuih akok itu sedap.


Akok Kemboja


Bahan-bahan:

  • 10 biji telur ayam
  • 300 gm gula melaka
  • 200 ml air
  • 400 ml santan
  • 2 helai daun pandan
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 60 gm tepung (tapi saya guna 70 gm)


Cara membuatnya:

  1. Masak gula melaka bersama 200ml air hingga larut,masukkan sekali daun pandan yg dicarik2.
  2. Tutup api. biarkan suam.
  3. Campurkan adunan gula melaka tadi dengan telur,santan dan tepung gandum. Kacau dan selepas itu ditapis.
  4. Panaskan acuan akok atau muffin tray.
  5. Letak lapisan paling atas dalam oven. masukkan sedikit minyak dalam acuan. biarkan minyak panas.
  6. Tuangkan adunan ke dalam acuan yang telah dipanaskan.
  7. Bakarlah pada suhu oven 210 degC.Tunggu sehingga masak, kemudian..... hidangkan.

>>SELAMAT MENCUBA<<

Sunday, July 4, 2010

MASJID HILIRAN TERSINGKAP SERIBU SEJARAH

Tahukah anda Terengganu merupakan negeri terawal menerima pengaruh ajaran suci Islam?Tahukah anda  akibat daripada pengaruh ini wujudnya tinggalan sejarah yang sangat suci dan masih digunakan sehingga kini? Bagi mengetahui dengan lebih lanjut jom ikut saya!!! 


Sebagai antara negeri terawal menerima pengaruh Islam seperti yang dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat, Terengganu mempunyai beberapa masjid yang kini sudah tua, berseni dan bersejarah.

Salah sebuah masjid berkenaan ialah Masjid Hiliran yang terletak di Jalan Hiliran,Terengganu.Masjid Hiliran merupakan masjid pertama yang menjadi sekolah Arab di negeri ini. 

Berdasarkan catatan sejarah, Masjid Hiliran telah wujud di antara zaman Sultan Terengganu pertama dari salasilah Johor iaitu Sultan Zainal Abidin I (7108-1733), Sultan Mansur I (1733-1794) dan Sultan Zainal Abidin II (1794-1808).

Antara keunikan yang terdapat di sini ialah kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih yang dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918).

Menurut cerita lisan penduduk setempat, telaga itu dibina menggunakan putih telur, madu lebah, pasir, kapur tohor dan batu-bata.Alkisah, pembinaan telaga itu bertujuan untuk memandikan gajah putih kepunyaan Sultan Zainal Abidin III yang dihadiahkan oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn sebagai tanda persahabatan sempena lawatan baginda dan para pembesar negeri ke Siam.

Telaga bersejarah itu kini dikelilingi benteng konkrit dan pada dindingnya diletakkan sebuah tempayan yang digunakan sebagai tempat gajah menyedut air untuk dijiruskan ke badannya.

Hasil daripada kajian, Kampung Hiliran yang menjadi tapak Masjid Hiliran pada zaman dahulu diberi nama tersebut kerana di kawasan itu terdapat satu aliran sungai yang bertemu dengan hilir Sungai Terengganu.Pada zaman dahulu, aliran sungai yang dikenali sebagai Sungai Sri Nilam adalah sungai yang besar dan menjadi laluan utama peniaga dari kampung berhampiran menuju ke Pasar Besar Kedai Payang di kuala Sungai Terengganu.

Sungai Sri Nilam ketika itu luas dan dalam sehingga perahu besar (kapal tradisional Terengganu) dapat berlabuh bahkan Kampung Hiliran juga dijadikan tempat persinggahan untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan perdagangan.Namun,sekarang semua itu sudah berakhir dan kini tinggal hanya satu aliran sungai yang menyerupai aliran parit.

Pada masa dahulu kampung ini dipecahkan kepada beberapa buah kampung.Antara kampung yang masih kekal menggunakan perkataan 'hiliran' ialah Kampung Hiliran, Kampung Hiliran Jejawi, Kampung Hiliran Telaga Parit dan Kampung Hiliran Masjid.Penamaan Kampung Hiliran Masjid adalah berdasarkan bahawa masjid adalah ciri utama bagi kawasan atau kampung itu.

Masjid Hiliran pada asalnya dibina daripada kayu sehingga tahun 1925 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sebelum ia dibina semula dengan gandingan kayu, simen dan batu.Tarikh rasmi pembinaan masjid ini dipercayai dibina lebih 200 tahun lalu.

Selepas sekian lama, memandangkan masjid itu sudah terlalu usang, seorang alim dan hartawan tempatan, Muhammad Abdul Rahman membiayai semua kos pembinaan masjid di tapak asal masjid lama.

Uniknya masjid ini kerana atapnya berbeza dengan reka bentuk utama masjid di rantau Nusantara yang berunsur potong bawah (kubah), sebaliknya ia berasaskan bentuk bumbung limas potong perak iaitu salah satu seni bina Melayu terkenal.

Justeru, beliau adalah pengasas wajah baru Masjid Hiliran dan untuk mengimarahkannya, beliau menjemput beberapa ulama tempatan dan bukan tempatan untuk mengajar agama di masjid itu.Pada awal pembinaan Masjid Hiliran ditadbir sendiri oleh Muhammad Abdul Rahman dan ahli keluarga, bahkan beliau melantik imam dan bilal.

Muhammad adalah seorang hartawan yang mempunyai rangkaian perniagaan di Thailand, Singapura dan Indonesia. Perniagaan beliau berasaskan barangan tekstil, kayu-kayan, rempah-ratus dan sebagainya.

Harta wakaf yang berkaitan dengan Masjid Hiliran diurus dan ditadbirkan oleh Muhammad dan ahli keluarga dan antara yang memberi sumbangan ialah anak beliau Muhammad Salih bin Haji Su.

Pada akhir tahun 1930an, pihak masjid telah mengumarahkan lagi aktiviti di masjid ini.Selain mengadakan kuliah agama, kelas agama dan bahasa Arab turut diadakan di ruang khas masjid yang dinamakan Balai Lintang.

Kelas dibuka kepada remaja. Masjid pernah mengambil dua guru dari sebuah madrasah di Bukit Mertajam iaitu Ahmad Fuad dan Ahmad Zaki.Setelah kelas ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai ia dipindahkan ke tapak baru Sekolah Agama al-Khairiah.

Pada tahun 1942, Muhammad kembali ke rahmatullah dan anaknya Haji Su menggantikan tempatnya sebagai pentadbir Masjid Hiliran.Selanjutnya setelah Haji Su meninggal dunia pada tahun 1952, pentadbiran masjid diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).




Masjid Hiliran telah menempa sejarah dalam pendidikan Islam terawal di negeri Terengganu.Sebagai orang islam khasnya muslimin menjadi tanggungjawab kita untuk mengumarahkan rumah yang mulia ini.Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha melakukan amal ibadat di rumah yang sangat mulia ini agar hidup kita sentiasa mendapat keredoanNya..Amin.

Saturday, July 3, 2010

KEHANGATAN KOLAM LA HOT SPRING


Anda mungkin mempunyai cita-cita untuk ke negara matahari terbit iaitu Jepun, kerana di sana terdapat Gunung Fuji yang mempunyai banyak kolam air panas.Berendam di kolam air panas menjadi  satu aktiviti santai yang menarik dan amat popular di negera Jepun.Namun kini anda tidak perlu terbang sejauh itu, kerana "LA HOT SPRING" di Terengganu juga mampu menjanjikan kepuasan dan kehangatan kolam air panas kepada anda. 


Kolam air panas "LA HOT SPRING"

Kawasan air hangat ini terletak di pendalaman Hulu Besut kira-kira 28 km dari Bandar Jertih Terengganu. Pusat Pelancongan ini atau lebih dikenali dengan panggilan "LA HOT SPRING" telah dibuka kepada orang ramai sebagai tempat pelancongan pada tahun 1992 sempena perlancaran Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut.

La Hot Spring merupakan tempat yang menjadi tumpuan samada dari kalangan pengunjung dalam dan luar negera. Ia terletak di Kg. La, Jerteh dan jarak dari bandar Jerteh lebih kurang 30km.Jika anda datang dari bandar Kuala Terengganu, anda boleh menghala ke Jerteh dan setibanya di papan tanda untuk ke La Hot Spring, teruskan perjalanan anda untuk sampai ke sini. Jaraknya dari bandar Terengganu lebih kurang 100km dan dari persimpangan untuk ke La Hot Spring lebih kurang 10km.Setibanya anda ke sini anda perlu membayar tol parking sebanyak RM2 sahaja.


 Ramai penyunjung mandi-mandi tatkala di hujung minggu


Kehangatan airnya


Pusat rekreasi ini sebenarnya sudah lama wujud dan dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap hujung minggu dan cuti am untuk menikmati keindahan alam semulajadi.Mengikut cerita-cerita masyarakat setempat kawasan ini telah ditemui oleh Penghulu Ibrahim bin Haji Mat ketika memburu sejak zaman pemerintahan Inggeris lagi.Lokasinya yang terlalu terpencil di tengah-tengah hutan menyebabkan kawasan ini tidak dikunjungi oleh sesiapa pada ketika itu.Namun, hasil penerokaan tanah yang dijalankan oleh FELDA menyebabkan kolam air panas ini mula dikenali dan dikunjungi ramai.

Pengunjung bukan saja berpeluangberpeluang mandi-manda, namun turut dapat melihat keajaiban air hangat yang keluar menerusi lubang dari sebuah bukit dan terus mengalir ke dalam kolam yang disediakan.

Air hangat yang mengalir ini mengandungi kimia "SULFUR" atau belerang dengan kehangatannya mencapai 49 darjah celsius. Ianya berkhasiat untuk mengubati penyakit seperti gatal-gatal kulit, lumpuh,dan darah tinggi. Disini juga terdapat "Wadding pool" bekas air hangat ( thermos ). 


Air kolam ini dipercayai boleh menyembuhkan penyakit


La Hot Spring juga terkenal dengan cerita dongeng masyarakat melayu iaitu cerita Puteri Saadon.Kononnya kolam air panas ini dijaga oleh Puteri Saadon, dan ada ketikanya puteri akan datang untuk mandi di sini.Penduduk setempat juga mendakwa mereka pernah bertemu dengan puteri tersebut dan jika anda datang melawat ke sini anda di larang keras membuang sampah di merata-rata tempat kerana dikatakan ianya akan dimarahi oleh puteri yang menjaga tempat ini,kebenaran cerita ini tidak dapat di pastikan,kerana ini hanyalah cerita dari penduduk setempat sahaja.


LA HOT SPRING

Berendam di kolam air panas "LA HOT SPRING" menjadikan percutian di hujung minggu anda menjadi lebih bermakna.Selain dapat merehatkan minda dan bersantai bersama keluarga, percutian di sini juga mungkin dapat mengubati penyakit yang dihidapi khasiat daripada kandungan air kolam panas ini.Oleh itu tunggu apa lagi, jom kita berkunjung ke sana!!!    

Friday, July 2, 2010

PANTUN SELOKA TERENGGANU



Molek serama tiada berbanding,
Bila bersabung terpatuk diri,
Jari telunjuk tunding menunding,
Empat jari tertunding diri.

Minah bertiga bercanda seloka,
Seronok membanding emas suasa,
Roket boikot itupun derhoka,
Dacing boikot wajarkah rasa?

Anak cina bertutur pelat,
Kalau ditegur biarlah tegas,
Dijunjung rakyat Raja berdaulat,
Menteri hanya pemudah tugas,

Kelat salak tiada perinya,
Jangan dihidang di balai raya,
Raja bertakhta daulat empunya,
Patik-menteri apatah daya?

Laskar Siam serang ke muara,
Ayuh mari dipasang pelita,
Tinggi pangkat menteri bentara,
Tinggi lagi Raja di takhta.

Melenting jangan walau teruja,
Nafsu terkawal tetiap ketika,
Disampuk jangan titah diraja,
Nantikan dianggap biadap derhoka,

Emas tertinggal di atas para,
Andai tercuri kesal terasa,
Marilah rakyat sebulat suara,
Menjunjung Sultan tunggak nusa,

Pergi berkunjung ke Lata Belantan,
Jangan ditinggal si AWang Budiman,
Allah daulatkan Tuanku Sultan,
Terengganu Darul Iman....


>>Mane yang baik amik la jadikan pengajarang dan mane yang buruk tu jadikanlah sempadang ye.... <<

Thursday, July 1, 2010

RESEPI - LAKSA TERENGGANU


Laksa Terengganu merupakan sejenis makanan yang sangat popular di Terengganu.Makanan ini sering dihidangkan samaada di waktu pagi atau pun petang.Laksa Terengganu dikatakan mempunyai rasa yang sangat enak dan berbeza daripada laksa negeri lain.Bagi mengetahui perbezaan serta keenakan makanan ini jom kita telusuri!!!

Laksa Terengganu biasanya dihidangkan bersama dua jenis kuah, iaitu kuah masak dan kuah mentah. Kuah mentah biasanya dibuat dengan menggunakan santan yang diharong (dicampur air panas) sahaja tanpa dimasak, dan dicampurkan dengan lada hitam, bawang dan isi ikan. Kuah masak pula disediakan dengan rempah dan hampir sama dengan kuah laksa Johor, tetapi lebih kuning. Kuah mentah biasanya tidak tahan lama dan perlu dibuat hanya apabila hendak dihidangkan.

Laksa Terengganu biasanya dihidangkan dalam beberapa gabungan dengan menggunakan laksa tepong (gandum) atau laksa beras contohnya laksa tepong dan kuah masak, laksa tepong dan kuah mentah, laksa beras dan kuah masak, atau laksa beras dan kuah mentah.




Bahan-Bahan

Laksa:

  • ½ kg laksa tepung beras

    Ulaman:
    • 2 biji timun (dihiris)
    • 2 pokok daun salad (dihiris)
    • 2 kuntum bunga kantan (dihiris)
    • ¼ kg tauge
    • Seikat daun kesum
    • 2 biji limau nipis 

      Kuah:
      • 10 ekor ikan kembung atau tamban (dibakar kemudian dibuang tulangnya lalu dikisar)
      • 2 labu bawang besar (ditumbuk halus)
      • 1 camca besar lada sulah
      • 2 biji kelapa atau 1 peket santan serbuk (ambil lima cawan santan)
      • 3 camca besar kerisik
      • 4 camca besar gula pasir, garam secukup rasa

      Sambal belacan: 
      • 100 gm cili merah
      • 20 gm belacan [ dibakar wangi]
      • garam
            Tumbuk cili merah bersama belacan hingga lumat.



      Cara-cara

      1. Ikan yang telah dikisar, dicampurkan bersama santan.
      2. Masukkan bawang, kerisik, gula, garam dan lada sulah.
      3. Masak hingga menggelegak, kemudian angkat.
      4. Hidangkan bersama sayur yang telah dihiris tadi.


      Pada kebiasaannya laksa Terengganu di makan dengan menggunakan tangan, ini akan membuatkan ia berasa lebih asli dan enak.....Selamat mencuba.