Tuesday, May 18, 2010

RAHSIA BATU BERSURAT


Gambar di atas ialah surat yang paling keras di dunia.Tentu anda akan tertanya surat apakah itu?Itulah Batu Bersurat, untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, jom! ikut saya menerokai sejarah batu yang unik dan penuh misteri ini ...

Pada Tahun 1887, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, ditepi Sungai Tara, di kampung Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Kemudian pada tahun 1902, batu ini dijumpai pula oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan di bahagian tangga surau Kampung Buloh yang dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut. Batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya.

Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abdidin III dan kemudian batu itu diletakkan di atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan.

Batu ini ditulis di dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 hijrah. Tulisan pada batu ini menerangkan, Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.

Pada tahun 1923, batu ini telah dihantar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, Batu Bersurat tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jumaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada YAB. Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.

Batu ini merupakan sebuah peringatan berbahasa Melayu yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengistiharaan Agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-Undang Islam.

Memorial Batu Bersurat terletak di Kampung Buluh, Hulu Terengganu . Ia dibangunkan sebagai suatu Peringatan tempat penemuan Batu Bersurat. Batu Bersurat ini merupakan bukti tertulis tentang pengistiharaan Islam sebagai agama rasmi bagi Negeri Terengganu malahan di Semenanjung Malaysia.

Memandangkan tempat ini merupakan tapak yang begitu penting dalam pensejarahan negeri dan negara, adalah wajar ianya dibangunkan dan dijadikan sebagai suatu tempat kajian dan kunjugan penduduk negeri ini khasnya dan pelancong-pelancong amnya.

Adalah diharapkan dengan adanya Memorial ini lebih ramai pengkaji-pengkaji, peminat-peminat sejarah dan pelancong-pelancong akan berkunjung ke sini untuk melihat keadaan persekitaran tempat yang penting ini, disamping dapat membaca keterangan dan kenyataan yang terkandung pada Batu Bersurat....Bye2..

Sunday, May 16, 2010

TINGGALAN SEJARAH DI BUKIT PUTERI

 Pernahkah anda ke Bukit Puteri?Tahukah di mana terletaknya bukit ini?Dan adakah anda tahu sejarah di sebalik kewujudan bukit ini?



Bukit Puteri, Kuala Terengganu merupakan sebuah bukit kecil (tinggi 200 m) yang lokasinya strategik di muara  Sungai Terengganu. Di atasnya terletak sebuah kota kecil, dibina awal kurun ke-19, digunakan untuk mempertahan raja-raja Terengganu daripada serangan musuh.

 Di puncak bukit terdapat sebatang tiang untuk dinaikkan bendera diraja pada hari-hari kebesaran. Tiang  ini telah dibina semasa zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III .Tiang itu lebih kurang 18 meter dan ditanam sedalam dua meter.Selain itu,rumah api juga terdapat di puncak bukit ini.Pada masa dahulu tujuan pembinaannya untuk menjadi penanda Kuala Negeri pada kapal-kapal laut.

Meriam ini merupakan meriam buatan Portugis.Antara nama-nama meriam yang terdapat di sini iaitu Sri Johor, Sri Buih, Laila Majnun dan Sri Jamlor.

Terdapat banyak lagi rahsia yang tersimpan di bukit ini yang tidak  dapat saya ceritakan, untuk mengetahuinya marilah kita beramai-ramai berkunjung ke sini agar segalanya dapat diketahui dengan lebih jelas lagi...... Bye2...Selamat berkunjung.

MARI MENCANDAT SOTONG




Mencandat sotong....Ramai orang apabila ditanya mengenai mencandat sotong, mereka akan menjawab "apa tu".Tapi bukan semua orang tidak tahu.Bagi penggemar  akan aktiviti ini sudah pasti bila tiba musim mencandat  mereka akan berpusu-pusu ke lubuk-lubuk sotong.

Sekitar April hingga Ogos, kawasan perairan Terengganu pada waktu malam tak ubah seperti bandar terapung yang diterangi cahaya lampu daripada bot-bot nelayan.Kawasan perairan seperti di Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Perhentian, Kemaman, Merchang, Marang, Kuala Terengganu, Batu Rakit dan Penarik bagaikan sedang berpesta apabila kerlipan cahaya itu menerangi kawasan laut yang sebelum ini gelap-gelita.

Pesta mencandat sotong bermula daripada terbenamnya matahari sehingga fajar menyinsing dan jangan terkejut jika dikatakan seseorang nelayan mampu membawa balik antara sehingga 50 hingga beratus kilogram sotong semalam jika kena lubuknya.

Mencandat sotong adalah satu kaedah tradisi menangkap sotong tanpa menggunakan umpan dan hanya menggunakan sejenis peralatan dinamakan “candat”.



JENIS CANDAT
Alat yang dinamakan candat ini berbentuk umpan tiruan seperti udang diperbuat daripada timah ataupun plastik yang berkilat, bercahaya serta berwarna-warni untuk menarik perhatian sotong yang sifatnya memang tertarik dengan cahaya.



Lazimnya candat ini diikat dengan lapan hingga 10 mata pancing. Antara nama candat yang biasa digunakan ialah candat buntal, twist, udang, umpan dan candat Siam.
Perbezaan candat-candat ini dari segi bentuk dan penggunaannya bergantung kepada kesesuaian dan jenis sotong yang dicandat sama ada sotong torok, cumit-cumit, ketupat dan sotong jarum, mengabang, sotong katak, dan sebagainya.

“Setiap kali mencandat, kita menggunakan lampu kalimantang yang disuluh ke laut untuk menarik perhatian sotong. Candat itu akan dicampak ke dalam air sehingga ke dasar sebelum diangkat balik sepanjang sedepa.”
“Ketika itulah kita perlu menggerak-gerakkan candat tadi dengan menarik-narik talinya supaya ia kelihatan seolah-olah umpan hidup untuk `menipu’ sotong yang kemudian akan menyambar umpan tiruan tersebut,” katanya.

KALENDAR PELANCONGAN



Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT), Ahmad Fathil Abd Ghani berkata, aktiviti mencandat sotong telah mula dipromosikan sebagai satu daripada aktiviti dalam kelendar pelancongan negeri sejak tahun 1990 lagi.

"Jika dahulu, aktiviti ini merupakan kegiatan yang dilakukan oleh nelayan untuk mencari rezeki, namun kini ia dijadikan sebagai aktiviti menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

"Kini apabila tibanya musim mencandat, nelayan juga memperoleh peluang untuk menambahkan sumber pendapatan mereka dengan membawa pelancong tidak kira dari dalam atau luar negeri untuk mencuba aktiviti ini dengan sewa bot RM500 bergantung pada saiz bot," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, MTPNT dengan kerjasama Tourism Malaysia giat mempromosikan aktiviti ini dengan mengadakan Fiesta Mencandat Sotong di Pulau Redang sejak tahun lepas.

Pakej-pakej untuk kegiatan ini turut diselitkan dengan pakej penginapan bagi menarik bukan sahaja untuk pelancong tempatan tetapi luar negara yang diadakan dengan kerjasama pengusaha pelancongan di negeri ini.

Mereka yang berminat menyertai aktiviti ini boleh mendapatkan keterangan lanjut daripada agensi-agensi pelancongan di negeri ini, MTPNT atau Pelancongan Malaysia. Bye2.....

Saturday, May 15, 2010

RESEPI - KUIH LOMPAT TIKAM

Pernahkah anda memakan kuih yang mampu membuatkan anda terlompat apabila memakannya.....?Pasti anda merasa mustahil bukan,manalah ada kuih yang mampu membuatkan kita terlompat di dunia nyata ini.Namun pada kali ini saya sendiri akan membuatkan anda terlompat apabila membaca artikel, pada kali ini...hehehe.




Sejenis kuih tradisional yang popular di Malaysia, terutama di Pantai Timur iaitu di Terengganu.Kuih ini dikenali sebagai "Kuih Lompat Tikam".Kalau anda bertanya kepada saya kenapa namanya kuih lompat tikam, sudah tentu saya ,,,,,,,tidak dapat menjawabnya.Tapi setelah mencuba sendiri keenakan kuih ini yang mampu membuatkan saya melompat, membuatkan saya berasa inilah sebabnya kenapa ia digelar kuih lompat tikam.


Kuih lompat tikam mempunyai dua lapisan, iaitu lapisan tepung yang biasanya bewarna hijau di bahagian bawah dan lapisan santan yang bewarna putih di bahagian atas. Bahagian ini dibuat tawar kerana ia dimakan bersama air nisan atau gula kabung.Kuih ini amatlah sesuai dimakan sebagai sarapan mahupun makan petang.




RESEPI:

Lapisan Bawah:
500ml air daun pandan
120gm tepung beras
20gm gula
1 camt air kapur
garam secukup rasa



Lapisan Atas:
300ml air
80gm tepung beras
30gm gula
1/2 camt air kapur
garam secukup rasa



Air Gula:
200g gula melaka
80g gula
200 air
2 helai daun pandan



Cara membuat:


1. Lapisan bawah: Satukan semua bahan dalam kuali, kacau di atas api yang perlahan sehingga keras dan pekat. Adunan tadi akan berwarna hijau.

2. Tuang adunan dalan loyang yang disapukan minyak dan tunggu sehingga ia sejuk.

3. Lapisan Atas : sama seperti lapisan bawah tadi.Apabila masa, tuangkan lapisan atas ke atas lapisan bawah yang berwarna hijau tadi dan sejukkan.

4. Air Gula : Satukan semua bahan ke dalam periuk dan masak air gula sehingga hancur dan pekat.

5. Potong kuih dan hidangkan dengan air gula melaka.



<.Selamat mencuba.>

TASIK KENYIR DESTINASI BERHARGA




Adakah anda pernah berkunjung ke tasik? Jika tidak, marilah kita sama-sama menyelusuri sebuah tasik yang terekenal di negeri Terengganu iaitu Tasik Kenyir yang terletak di hulu Sungai Kenyir.


Empangan Kenyir  merupakan salah satu sumber tenaga elektrik utama kepada negara.


Tasik Kenyir yang wujud lebih 20 tahun yang lalu merupakan destinasi pelancongan yang sangat berharga di Negeri Terengganu dan menjadi tapak Penjana Kuasa Hidro-Elektrik Sultan Mahmud. Tasik Kenyir terbentuk dari 15 batang sungai yang dipenuhi air dan mengandungi lebih kurang 340 buah pulau-pulau kecil turut dipilih sebagai pintu masuk ke Taman Negara. Dengan keluasan lebih dari 2,600 kilometer persegi, tasik buatan manusia ini, serta kawasan hutan simpan di sekelilingnya mempunyai keluasan yang lebih besar dari Singapura.


Antara penginapan yang disediakan di sini

Tasik Kenyir mempunyai lebih dari 10 jenis tempat penginapan yang berbeza, tidak termasuk tapak-tapak perkhemahan yang berhampiran kawasan air terjun dan sungai yang indah. Tempat penginapan mewah seperti Petang Island Resort, Musang Kenyir Resort dan Kenyir Sanctuary Resort menawarkan bilik yang selesa, makanan yang lazat serta lokasi yang sunyi, sesuai untuk pasangan yang sedang berbulan madu atau keluarga yang bercuti.


Tasik Kenyir juga merupakan lokasi tarikan uatama pelancong asing.

Ikan Toman ini menjadi gilaan kaki-kaki pancing yang datang ke sini.

Selain itu, di sini juga menjadi lokasi utama kepada kaki-kaki pancing untuk melepaskan gian mereka untuk memancing di kala hujung minggu.Antara ikan-ikan yang menjadi buruan para pemancing ialah ikan toman dan sebarau.Berat ikan di sini mampu mencecah sehingga 30 hingga 40 kilogram seekor.



Kawasan hutan dan air terjun
 
Tetapi Tasik Kenyir lebih dari sekadar tasik air tawar dan aktiviti memancing. Hutan hujan dara yang tebal di sekeliling tasik juga mengandungi pelbagai tarikan. Lebih dari 14 buah air terjun boleh ditemui di sekitar kawasan Tasik Kenyir dari air terjun yang menjunam dari kecerunan setinggi 500 kaki, hinggalah rangkaian air terjun rendah yang bersambung-sambung.



Jeti di Tasik Kenyir

Air Tasik Kenyir yang tenang sehijau zamrud bagaikan cermin membalikkan pemandangan kaki langit di sekelilingnya. Kelihatan tunggul pokok-pokok mati di sana sini membuktikan bahawa suatu ketika dahulu seluruh kawasan ini merupakan hutan tebal sebelum ditenggelami air. Suasana damai dan keindahan semulajadinya menjadikan Tasik Kenyir satu destinasi yang amat sesuai untuk mencari ketenangan jiwa.Oleh itu , tunggu apa lagi. Jom ke sana!!!