Tuesday, May 18, 2010

RAHSIA BATU BERSURAT


Gambar di atas ialah surat yang paling keras di dunia.Tentu anda akan tertanya surat apakah itu?Itulah Batu Bersurat, untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, jom! ikut saya menerokai sejarah batu yang unik dan penuh misteri ini ...

Pada Tahun 1887, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, ditepi Sungai Tara, di kampung Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Kemudian pada tahun 1902, batu ini dijumpai pula oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan di bahagian tangga surau Kampung Buloh yang dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut. Batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya.

Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abdidin III dan kemudian batu itu diletakkan di atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan.

Batu ini ditulis di dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 hijrah. Tulisan pada batu ini menerangkan, Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.

Pada tahun 1923, batu ini telah dihantar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, Batu Bersurat tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jumaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada YAB. Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.

Batu ini merupakan sebuah peringatan berbahasa Melayu yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengistiharaan Agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-Undang Islam.

Memorial Batu Bersurat terletak di Kampung Buluh, Hulu Terengganu . Ia dibangunkan sebagai suatu Peringatan tempat penemuan Batu Bersurat. Batu Bersurat ini merupakan bukti tertulis tentang pengistiharaan Islam sebagai agama rasmi bagi Negeri Terengganu malahan di Semenanjung Malaysia.

Memandangkan tempat ini merupakan tapak yang begitu penting dalam pensejarahan negeri dan negara, adalah wajar ianya dibangunkan dan dijadikan sebagai suatu tempat kajian dan kunjugan penduduk negeri ini khasnya dan pelancong-pelancong amnya.

Adalah diharapkan dengan adanya Memorial ini lebih ramai pengkaji-pengkaji, peminat-peminat sejarah dan pelancong-pelancong akan berkunjung ke sini untuk melihat keadaan persekitaran tempat yang penting ini, disamping dapat membaca keterangan dan kenyataan yang terkandung pada Batu Bersurat....Bye2..