Tuesday, May 11, 2010

GEMERLAP KUNANG-KUNANG

Kampung Yak-Yah,Kemaman Terengganu sememangnya terkenal sebagai tempat kunang-kunang berkumpul di malam hari.Memperhatikan kunang-kunang merupakan salah satu aktivitas utama di sini.Kagumi keindahan gemerlap kunang-kunang yang mempesona di sini!


  Gemerlapan kunang-kunang di malam hari


Kunang-kunang adalah sejenis serangga yang dapat mengeluarkan cahaya yang jelas terlihat saat malam hari. Cahaya ini dihasilkan oleh "sinar dingin" yang tidak mengandung ultraviolet maupun sinar inframerah dan memiliki panjang gelombang 510 sampai 670 nanometer, dengan warna merah pucat, kuning, atau hijau, dengan efisiensi sinar sampai 96%.


 Kunang-kunang

Kunang-kunang, yang memancarkan sinar untuk saling mengenali atau untuk memberi tanda kahwin, menggunakan panjang gelombang sinar yang berbeza, tergantung pada spesiesnya. Selain itu, pada beberapa spesies, kunang-kunang jantan yang mula-mula menyorotkan sinar untuk menarik sang betina, sementara pada spesies lainnya, sang betina yang “memanggil.” Sebagian kunang-kunang menggunakan cahaya mereka untuk mempertahankan diri. Mereka mengeluarkan sinar sebagai tanda pada musuh bahwa mereka bukan makanan yang lezat.


Tips

Pastikan anda berdiam diri ketika memperhatikan kunang-kunang disini dan anda pasti dapat mengagumi keindahan pemandangan ini!




Ribuan kunang-kunang berkumpul di kawasan paya bakau yang luas ini, terutama disekitar pohon-pohon Berembang. Serangga ini tidak berbahaya sama sekali dan pengalaman melihat kunang-kunang ini untuk yang pertama kali pasti tidak dapat dilupakan! Berkunjunglah ke Kampung Yak-Yah dan saksikan sendiri keindahan kunang-kunang di sini.

Friday, May 7, 2010

MENGHAYATI MUZIK TRADISI- RODAT



Rodat merupakan hiburan tradisi yang mempunyai fungsi sosial berhubung dengan pengisian kehidupan bermasyarakat. Pantun dan sajak yang dinyanyikan dalam persembahan rodat mempunyai peranan dan pengaruh yang agak signikan. Dalam konteks ini, pantun dikonsepsikan sebagai satu bentuk nasihat, adat, berbudi bahasa, jenaka, kasih sayang yang disampaikan dalam bahasa yang berirama serta indah dan mengasyikkan. Seni persembahan tradisional ini adalah satu bentuk persembahan kesenian yang popular di kalangan masyarakat di Terengganu. Rodat biasanya dipersembahkan di dalam majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara, berkhatan, musim menuai, hari Keputraan Sultan dan di pesta-pesta kebudayaan. Seni persembahan tradisional ini dipersembahkan dalam bentuk tarian, nyanyian serta paluan alat muzik yang dipanggil rebana tar atau tar rodat.

ASAL USUL

menurut satu catatan di dalam Buletin Warisan (Mac 1979), Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu ada menyebut bahawa persembahan tradisional ini berasal dari pedagang-pedagang Sambas dan Pontianak yang telah datang ke Terengganu di awal abad ke 19. Alunan lagu (rodat) serta suara lunak bersama-sama tepukan alat muzik tersebut, telah menarik penduduk tempatan (Terengganu) untuk mempelajari persembahan ini sehingga ianya menjadi sebati dan tersohor serta telah berkembang dalam masyarakat Terengganu khususnya.

Sesetengah pendapat ada menyatakan bahawa seni persembahan rodat ini berasal dari Tanah Arab. Apa yang lebih menarik untuk diperkatakan tentang seni tradisional rodat ini adalah keunikan dari segi persembahan dan mesej yang ingin disampaikan serta diperkuatkan lagi dengan seni yang berunsurkan Islam serta sangat dihormati kerana merakamkan pujian kepada Tuhan dan sejarah hidup para Rasul.

PERSEMBAHAN

Kebiasannya, persembahan rodat dimulakan dengan kumpulan pengadi bersama pelenggok akan menyampaikan sebuah lagu pembuka pentas. Lagu yang sering digunakan ialah lagu selawat yang dipersembahkan dalam posisi duduk selama kira-kira lima belas minit. Setelah lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua pengadi akan memulakan persembahan dengan Bismillahi Muala Nab Tadaina iaitu sebuah bentuk zikir selepas lagu selawat dinyanyikan. Kemudian para pengadi akan mengulangi fasa ini sambil disahut oleh pelenggok. Begitulah seterusnya di mana lagu-lagu berbentuk puji-pujian kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh pelenggok sambil sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.

TARIAN

Pergerakan tarian dalam seni persembahan rodat pada umumnya merangkumi beberapa peringkat atau fasa berasaskan dua pergerakan utama iaitu bergerak maju ke hadapan dan undur ke belakang dengan membawa pergerakan tangan, kaki dan badan Tetapi tiap-tiap satu peringkat bermula serta berakhir dengan pergerakan duduk atau berlutut.


LAGU RODAT

Persembahan seni rodat dikatakan mempunyai 50 hingga 60 jenis lagu, namun pada suatu ketika dahulu antara lagu yang masih popular dimainkan sehingga kini yang terkandung di dalam kitab hadrah adalah seperti berikut :

-Ya Hayyum Ya Qayyum(Nama-nama Tuhan yang menghidupkan)

- Allah La illa ha illallah(Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah)

- La illa ha illa Ya Karim(Tidak ada Tuhan melainkan Engkau)

PERALATAN

Untuk mengiringi satu-satu persembahan rodat, kumpulan pengadi akan menggunakan sejenis alat muzik yang dikenali sebagai tar rodat. Tar diperbuat daripada sejenis kayu yang dikenali sebagai kayu leban. Manakala bahagian permukaaan yang dipalu pula dihasilkan daripada kulit kerbau.



Warisan kesenian rodat telah meniti satu zaman pertumbuhan, perkembangan serta perubahan yang amat panjang, iaitu lebih daripada satu abad yang lalu.Ciri-ciri keunikan rodat yang tersendiri sememangnya sukar ditandingi, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan kesenian moden hari ini. Justeru, tidak hairanlah jika persembahan rodat masih bertahan serta masih mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat khususnya di negeri Terengganu Darul Iman hingga ke saat ini.Oleh itu, bagi memelihara seni tradisi yang sangat unik ini, marilah kita bersama-sama menghayati serta menjadikannya hiburan utama agar ia tidak ditelan dek peredaran zaman.

Thursday, May 6, 2010

KEINDAHAN PULAU PERHENTIAN



Pulau Perhentian sebenarnya terdiri daripada dua buah pulau yang indah iaitu Perhentian Besar dan Perhentian Kecil, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Kuala Besut dan berada di timur persisir pantai Semenanjung Malaysia. Pulau-pulau tersebut bukan sahaja dipenuhi dengan keindahan alam semula jadi , tetapi juga memberi peluang kepada para pelancong untuk menikmati keindahan alam semulajadi tersebut dengan cara yang baru dan menyeronokkan.


Kepersonaan  Pulau Perhentian


Keindahan pantainya

Scuba diving merupakan salah satu daripada aktiviti yang paling utama di Pulau Perhentian. Oleh kerana aktiviti ini begitu popular di kalangan pelancong, anda akan mendapati banyak tempat-tempat menyelam yang menawarkan pakej harga yang amat berpatutan sekali. Tempat-tempat tersebut begitu popular kerana anda boleh menyelam pada paras yang dalam dari permukaan laut dan juga airnya yang jernih berkristal membuatkan para penyelam boleh melihat dengan begitu jelas pemandangan sewaktu berada di dalam air.


Scuba diving merupakan aktiviti yang sangat popular di sini


Antara sebahagian activiti di pantai
Aktiviti menjelajah ke dalam hutan antara pulau-pulau tersebut juga yang terdapat di sini. Kedua-dua pulau tersebut diliputi oleh kawasan hutan dara yang mempunyai banyak haluan yang digunakan sebagai jalan pintas untuk pergi ke pantai yang lain.Di sini, anda boleh melihat berbagai-bagai jenis serangga, tumbuhan dan sebagainya secara lebih dekat.


Sebahagian  kawasan hutan di Pulau Perhentian


Haiwan yang boleh dilihat di sini
 
Untuk ke sini, anda boleh menyewa bot dari pulau-pulau lain yang berdekatan untuk ke Pulau Perhentian, kebanyakkan pelawat biasanya menaiki bot daripada Kuala Besut. Pengangkutan yang biasa digunakan ialah bot laju yang mana perjalanan biasanya mengambil masa lebih kurang 30 hingga 45 minit - bergantung kepada lokasi penginapan anda di pulau tersebut.



Jeti dan bot penumpang



Pulau berkembar ini menawarkan pilihan hebat pelbagai jenis tempat penginapan dari rumah tumpangan yang murah hinggakan resort bertaraf 4-bintang.


Penginapan yang disediakan di sini


Pulau Perhentian sememangnya destinasi yang mesti dikunjungi. Perairan di sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang serta menawarkan pemandangan bawah laut yang hebat yang mesti kita selami.jadi ape lagi, marilah beramai-ramai berkunjung ke pulau yang indah ini..

PANORAMA DI GUNUNG TEBU



Gunung Tebu merupakan sebuah gunung yang terdapat di Negeri Terengganu, Malaysia. Gunung Tebu mempunyai ketinggian 1,039 meter dan Gunung Tebu mempunyai kawasan hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Dengan berlatarbelakangkan Laut China Selatan, keindahan Pulau Perhentian dapat dilihat dari Puncak Gunung Tebu jika tidak berkabus tebal.



Pemandangan dari puncak

Lokasi Gunung Tebu terletak di Hutan Lipur Lata Belatan iaitu 24 km dari Pekan Jertih melalui Jalan Raya Kuala Terengganu-Jertih, 118 km dari Kuala Terengganu. Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Bandar Permaisuri atau Pekan Jertih. Dari Pekan Jertih, kita terus menuju ke Kampung Jabi untuk ke Hutan Lipur Belatan.



Gunung-gunung lain yang dapat dilihat dari puncak Gunung Tebu

Keunikan bentuk muka buminya menarik kunjungan pendaki tempatan dan luar negara. Pengunjung dapat menyaksikan pemandangan indah gu gusan pulau zamrud Terengganu termasuk Pulau Perhentian dan Pulau Redang, daratan yang bertaburan di Laut China Selatan.Ada berkata, puncak gunung ini paling mudah ditawan. Justeru, tidak hairanlah tanah tinggi di daerah Setiu ini semakin popular di kalangan penggemar aktiviti lasak dan pencinta alam sekitar. Selain itu, di puncaknya juga terdapat sebuah kubur dan tempat yang menjadi pilihan pesilat-pesilat untuk bertapa.



Antara air terjun yang dapat dilihat dalam perjalanan ke puncak gunung

Pendakian ke Gunung Tebu memakan masa antara dua atau tiga hari. Ada juga segelintir pendaki yang dahagakan pengembaraan lebih lasak, menyambung kembara mereka dengan menawan banjaran tanah tinggi lain di sekitar Besut, sebelum menamatkan ekspedisi di Kolam Air Panas La.“Pendakian dari kaki gunung ke puncak Gunung Tebu mengambil masa dua hari satu malam. Tempoh masa yang agak singkat ini membolehkan aktiviti lasak ini diadakan secara berkumpulan terutama di hujung minggu.



Ketinggian puncak Gunung Tebu

Perjalanan untuk sampai ke puncak Gunung Tebu mungkin memakan masa selama dua ke tiga hari.Ini mungkin memenatkan kita,namun sesampainya ke puncak gunung sudah pasti segala penat lelah itu akan hilang dek melihat keindahan di puncak gunung ini.Oleh itu marilah berkunjung ke sini kerana ia mampu menjamin kepuasan terutamanya kepada pencinta alam dan para pendaki gunung yang sukakan cabaran, malah memberi satu pengalaman baru dalam dunia pengembaraan.

Wednesday, May 5, 2010

JUADAH- TEPONG GOMAK


Merupakan sejenis kuih yang sangat popular di negeri Terengganu iaitu buah gomak, gomak atau lebih popular dikenali sebagai Tepong Gomak akan membuatkan pemakannya berasa puas menikmati keenakan tatkala merasainya.

Kuih ini dibuat daripada tepung pulut dan intinya dibuat daripada kelapa manis.Mempunyai bentuk bulat getel yang sangat menarik, mampu membuatkan kita berasa ingin memakannya. Di bahagian luar tepung gomok dilumur dengan tepung pulut/ tepung kacang hijau untuk mengelakkan ia daripada melekat sesama sendiri.


RESEPI


Bahan untuk tepung :

  • 300gm tepung pulut
  • 300g tepung kacang hijau

Bahan untuk inti:

  • 50gm gula merah
  • 1/2 cawan gula putih
  • 1 bj kelapa parut
  • 1/2 st tepung gandum
  • 1 helai daun pandan

Cara-cara:

  1. Masak gula merah dan gula putih hingga gula larut. Masukkan daun pandan dan dimasak sehingga gula menjadi pekat.
  2. Masukkan kelapa parut dan dikacau hingga sebati. Angkat dan sejukkan terlebih dahulu.
  3. Gaulkan tepung pulut dengan air dan sedikit garam sehingga menjadi adunan yang kental.
  4. Ambil sedikit adunan dan bulatkan kemudian dileperkan.
  5. Masukkan inti dan dibulatkan dan dileperkan semula.
  6. Masak air mendidih dan masukkan adunan yang telah siap.
  7. Masak hingga ianya timbul barulah diangkat dan ditoskan (sama mcm buat buah melaka)
  8. Golekkan dalam tepung kacang hijau dan aturkan dalam piring untuk dihidangkan.....
Bagi merasai keaslian makanan ini datanglah ke pantai timur semenanjung Malaysia, khasnya negeri Terengganu......Selamat menjamu....