Wednesday, July 28, 2010

NADI ILMU DI PPAT


Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) merupakan sebuah Badan Berkanun Negeri, ia telah ditubuhkan di bawah Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu Bil.7 Tahun 1974 dan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 6 Julai 1974.
Tapak seluas 5.5 ekar di Padang hiliran telah diperuntukan untuk pembinaan perpustakaan Negeri Terengganu . Bangunan setinggi 5 tingkat ini yang menelan belanja RM33 juta telah siap sepenuhnya pada penghujung Jun 2001 manakala perasmian bangunan telah disempurnakan oleh DYMM Al Sultan Terengganu pada 22 Julai 2001 ( Ahad ), sempena sambutan ulangtahun keputeraan baginda yang ke 39.



Dalam usaha pihak (PPAT) menarik orang awam berkunjung ke perpustakan bermacam-macam aktiviti telah diadakan.Antaranya baru-baru ini Perbadanan perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) telah menganjurkan program Keluarga membaca 1 Malaysia dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail yang telah diadakan telah diadakan di Ruang Legar, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.Program ini bertujuan bagi melahirkan rasa minat masyarakat Malaysia untuk membaca , selain untuk melahirkan masyarakat berpengetahuan tinggi dan berkelibar.




Visi

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu menjadi peneraju penyebaran ilmu dan maklumat,
disamping menggerakkan Budaya Membaca dikalangan penduduk dan menjadi rujukan ke arah
memajukan minda rakyat Negeri Terengganu



Perpustakaan merupakan salah satu nadi penyebaran ilmu. Sebagai orang awam khasnya orang Terengganu , kite seharusnya menyahut visi (PPAT) iaitu dengan menggunakan Perpustakaan awam yang telah disediakan ini, dengan sebaik mungkin.Jadi jangan lepaskan peluang, hidupkan budaya membaca dalam diri kite...Yah!!!

Tuesday, July 27, 2010

KELEBIHAN BULAN SYAABAN

Alhamdulillah, kita amat bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana dengan rahmat-Nya kita dipertemukan lagi dengan bulan Syaaban pada tahun ini iaitu bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat, di mana pada bulan ini, kita digalakkan untuk meningkatkan segala amal ibadat yang berkebajikan.

Bulan Syaaban adalah antara bulan-bulan yang mulia dan mempunyai keistimewaan tersendiri, maka seharusnyalah kita sebagai kaum Muslimin menyambut dengan rasa syukur dan memuliakannya dengan memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah Subhanahu Wataala.




Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Sya'aban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Sya'aban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. 


Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya'aban dan akhir khamis daripada Sya'aban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah).

Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Sya'aban.

Sabda Nabi s.a.w.: Sya'aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sya'aban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya'aban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezki baginya, antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah Ta'ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Dinamakan Sya'aban kerana padanya terdapat dapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban. Pengertian Sya'aban: Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Jinak, Cahaya.

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Qur'an atas segala kalam. Kelebihan Sya'aban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia' (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.

Bulan Sya'aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Sya'aban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya'aban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang menyangutukan (syirik) denganNya sesuatu, kecuali: tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibubapa.
Allah menilik kepada hambaNya pada malam Nisfu Sya'aban maka diampunkan dosa segala makhlukNya melainkan orang syirik dan orang yang tidak bertutur dengan saudaranya.


Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan.


Apabila pada malam Nisfu Sya'aban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyang, beribadat dan puasa kamu pada siangnya. Allah berfirman yang bermaksud: Adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang ditimpa bala Aku afiatkannya. Adakah orang yang meminta rezki maka Aku rezkikannya, demikianlah pertanyaan lainNya sehingga keluar fajar subuh.

Tersebut dalam kitab Al-Barakah: Bahawa jin, burung, binatang-binatang buas, ikan dilaut berpuasa mereka pada hari Nisfu Sya'aban

Tersebut di dalam Kitab Iqna' : Bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Sya'aban menunaikan segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasulullah s.a.w. kali keduanya katanya: Ya Muhammad! gembirakanlah kamu bahawa Allah Ta'ala telah mengampunkan segala umatmu orang yang tidak mengsekutukanNya sesuatu, angkatkan kepalamu, lalu Rasulullah mengangkatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala pintu syurga.

Bahawa malam Nisfu Sya'aban adalah hariraya Malikat, begitu juga pada malam Lailatul Qadar mereka tidak tidur, dipenuhi dengan amal dan ibadat sepanjang malamnya. Dan bagi anak-anak Adam berhariraya pada siang hari dengan berpuasa dan ibadat, kerana mereka tidur pada malamnya.

Barang siapa membaca pada bualan Sya'aban, ayat dibawah ini. Allah hapuskan daripadanya dosa seribu tahun dan keluarkan dari kuburnya mukanya seperti bulan purnama yang bermaksud:

Allah tidak akan mengampunkan dosa pada malam Nisfu Sya'aban enam orang:
1. Orang yang kekal minum arak.
2. Orang yang durhaka dua ibubapanya.
3. Orang yang kekal dalam zina.
4. Orang yang banyak berkelahi.
5. Orang yang melakukan perjualan dengan sumpah yang dusta.
6. Orang yang memperlagakan orang supaya berkelahi.

Pada malam Nisfu Sya'aban setelah berlalu 1/3 malamnya, Allah turunkan kelangit dunia lalu berfirman yang bermaksud: Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintaanya, adakah orang yang meminta, maka Aku perkenankan permintaanya, adakah orang yang meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang bertaubat maka aku Taubatkannya dan diampunkan bagi sekelian orang mukmin lelaki dan perempuan melainkin orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.





Bulan syaaban merupakan antara bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT.Banyak kelebihan dalam bulan ini untuk semua umat Islam manfaatkannya dengan memperbanyakkan amal ibadat mereka.Oleh itu, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan cara yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w supaya kita beroleh kemenangan di Dunia dan di Akhirat kelak........InsyAllah...Amin..

Friday, July 23, 2010

NELAYAN KITE




Penduduk Kuala Terengganu sememangnya terkenal sebagai pelaut dan pelayar yang cekap.Bagi mereka yang menetap di kawasan persisiran pantai, bekerja sebagai nelayan memang sudah menjadi kebiasaan.
Laut merupakan sumber pendapatan mereka dengan menangkap ikan atau hidupan laut termasuk siput dan rumpairlaut. Hasil penangkapan  ini kemudiaannya akan diborong atau dijadikan hidangan di rumah.Hasil penangkapan ini juga membawa perkembangan industri keropok di negeri Terengganu.


Ada beberapa istilah berkaitan dengan nelayan. Antaranya ialah Tekong iaitu ketua membawa bot,Awak-awak iaitu para pekerja dalam bot,Peraih iaitu pembeli ikan di jeti dan menjual ke tempat lain dan
Tauke iaitu tuan punya bot dan pukat.Mereka perlulah saling bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya.


Di Terengganu, nelayan di bahagi kepada 2 kategori iaitu nelayan pantai dan nelayan laut dalam. Perbezaan kategori ini terletak pada jenis alat tangkapan dan jarak jauh kawasan tangkapan mereka dari pantai.Alatan yang digunakan bagi nelayan pantai ialah jaal, rawai, pukat tarik / hanyut, bot bermotor atau sampan.Bagi nelayan laut dalam pula mereka akan menggunakan alatan seperti kapal, kilang, bot berenjin, pukat tunda atau pukat harimau, harpoon, radar, sonar, dingin beku.kebiasaannya hasil tangkapan nelayan laut dalam adalah lebih lumayan berbanding nelayan pantai.






Peranan yang dibawa oleh nelayan-nelayan ini memang cukup besar. Jika tiada mereka, sudah tentu sukar untuk kita dapat merasai  keenakan berbagai jenis kehidupan laut yang kemudiannya dimasak dengan beraneka rasa.Harganya juga pasti akan melambung tinggi.Oleh itu, hargailah sumbangan mereka ini agar kite sama-sama dapat manfaatnya.....

Thursday, July 22, 2010

SINGKAPAN SEJARAH DI GUA BEWAH

Pada kali ini saya akan menceritakan kepada anda satu lagi keindahan alam  yang terdapat di negeri Terengganu iaitu gua batu kapur,Gua Bewah.Mungkin bukan semua daripada anda pernah pergi ke gua, apatah lagi menyelusurinya.Untuk mengetahui keunikan gua dan apa yang terdapat di dalam gua, jom ikut saya!..



Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu kira-kira 578 meter dari aras laut, terdapatnya sebuah gua batu kapur yang mempunyai berbagai keistimewaan dan keunikan dari segi bentuk semulajadi yang wujud di dalam gua ini.Antaranya ialah  bentuk burung unta dan lembaga manusia yang sedang sujud.Namun, di sebalik keistimewaan itu, tersingkap sejarah bahawa gua yang dikenali sebagai Gua Bewah ini adalah penempatan manusia di zaman Mesolitik dan Neolitik

 Bewah bermaksud aktiviti kenduri-kendara . Terdapat beberapa gua batu kapur yang lain di sini seperti Gua Taat dan Gua Batu Tok Bidan.Gua Bewah juga dikenali sebagai Gua Tahi Kelawar . Najis burung kelawar menghasilkan tanah yang sangat subur khususnya di sekitar sepanjang tangga dari pelantar Bewah hingga ke pintu masuk gua dan kaya dengan tumbuhan keladi besar dan cili padi.


Dalam usaha untuk memperkenalkan gua ini, Tanjung Bewah telah dibangunkan sebagai tapak perkhemahan yang lengkap.Tandas, pondok wakaf dan barbeque telah dibina bagi memudahkan pelawat Gua ini juga turut dikenali dikalangan pemancing yang datang untuk memancing di Tasik Kenyir.

Gua Bewah juga dilengkapi dengan sistem solar untuk menyalurkan kuasa elektrik bagi pencahayaan lampu di dalam gua berkenaan bagi kemudahan pengunjung yang berkunjung ke situ.

Di samping itu, kerajaan negeri membina laluan untuk memudahkan pergerakan pengunjung dan pengunjung juga boleh membawa lampu suluh kerana tidak semua kawasan di dalam gua berkenaan dilengkapi dengan lampu.


ARTIFAK DI GUA BEWAH



Pada 10 hingga 24 Julai 1976, Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu telah melakukan ekskavasi bagi menyingkap kewujudan zaman prasejarah di sini.Artifak yang ditemui termasuklah rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang-cengkerang siput sedut yang dipotong pada segmen ketiga.Titisan air menghasilkan pelbagai bentuk dan saiz formasi stalaktit (yang meruncing dari siling gua) dan stalakmit seperti burung unta dan lembaga manusia. Terdapat spesies endemik lipas ekor biru dan lumut hijau berkilauan.

Pada Mei 1956, arkeologis British, R.O.D. None yang bertugas di Muzium Perak pernah mengkaji gua itu dan menemui beberapa artifak penting zaman Neolitik termasuk kapak batu, kendi dan mangkuk tanah.

Arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.Lebih 600 artifak seperti rangka manusia, tulang binatang, sisa makanan dan tembikar dipercayai berusia melebihi 10,000 tahun telah ditemui sepanjang pencarian ini dijalankan.

Artifak yang dijumpai ini akan dianalisis bagi mengetahui sama ada ia datang dari zaman Mesolitik atau Neolitik. Dari segi sejarah, penemuan artifak di Gua Bewah itu penting bagi memudahkan muzium mengetahui susur galur penduduk Terengganu. 



 PERJALANAN KE SINI



Mereka yang berminat untuk mengunjunginya boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan menaiki rumah bot untuk ke gua berkenaan menerusi ejen yang disediakan iaitu Bahtera Petang Houseboat.


 PENGINAPAN YANG DISEDIAKAN

Bahtera Petang Houseboat mampu memuatkan maksimum 12 orang dalam satu-satu masa dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada tempoh yang dikehendaki oleh pengunjung.Bagi pakej dua hari satu malam, bayaran yang dikenakan oleh perkhidmatan itu ialah RM280 dan pakej tiga hari dua malam, RM470 dikenakan manakala RM188 akan dikenakan sekiranya pengunjung menambah sehari bermalam.

Bahtera Petang Houseboat mempunyai dua bilik di mana satu bilik mempunyai dua katil bujang manakala sebuah bilik lagi mempunyai dua buah katil bertingkat dan lebihan enam penumpang lagi, mereka akan diberi kelengkapan tidur untuk tidur lobi rumah bot.

Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan rumah bot melalui Jeti Jenagor atau Pangkalan Gawi.


Menyelusuri gua merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan tidak dapat dilupakan.Melihat sendiri tinggalan sejarah yang terdapat di dalam gua ini akibat daripada wujudnya penempatan di dalam gua ini pada zaman dahulu kala sememangnya satu pengalaman yang hebat.Selain itu kita juga dapat menyaksikan berbagai rupa bentuk batu kapur yang sangat unik dan cantik.Sebagai pencinta alam tunggu apa lagi marilah kita pergi ke gua bersejarah ini...Bye2

Wednesday, July 21, 2010

TRADISI MENGEMPING

Pernahkah anda melihat makanan yang diberi nama EMPING? Jika soalan ini ditanya kepada generasi muda sudah tentu, mereka tidak akan dapat menjawabnya, malah tidak dapat menggambarkan bentuknya sekalipun.

Emping iaitu sejenis makanan yang diperbuat daripada padi muda suatu ketika dulu sering dihasilkan sebagai tanda kesyukuran golongan petani terhadap hasil pertanian mereka.Sehingga hari ini makanan itu tetap digemari oleh masyarakat terutama golongan tua namun sekarang proses mengemping semakin dilupakan sehingga tidak lagi diketahui oleh golongan muda.

Pada suatu ketika dahulu, setiap kali tiba musim menuai padi di negeri terengganu, pasti bunyi kletak klatuk kletak,,,, akan kedengaran di sekitar kampung.Bunyi itu bukannya terhasil daripada peralatan muzik tradisional tetapi ia adalah bunyi yang terhasil untuk membuat emping padi iaitu ketika proses padi ditumbuk. Ia juga dijalankan sebagai salah satu hiburan kepada penduduk kampung kerana aktiviti berkenaan boleh menghasilkan bunyi seperti muzik yang kuat jika kena pada gayanya.


 Mengemping padi


Menyedari hakikat itu, baru-baru ini  Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah menganjurkan demonstrasi menumbuk emping di perkarangan jabatan itu di Bukit Losong, Kuala Terengganu yang disertai oleh 50 peserta dari empat daerah.


Aktiviti menumbuk emping


Kebiasaannya, kumpulan mengemping terdiri daripada enam hingga 10 orang yang biasanya adalah golongan wanita. Mereka akan menumbuk padi secara beramai-ramai dengan menggunakan lesung sehingga padi itu menjadi leper.

Pada majlis tersebut, kumpulan berkenaan menunjukkan demonstrasi mengemping padi yang melibatkan beberapa peringkat pemprosesan sebagai memulihara warisan nenek moyang.

Melalui program yang diadakan pihak  Lembaga Muzium Negeri Terengganu berharap tradisi mengemping padi akan terus diamati dan diamalkan oleh generasi ke generasi, khasnya warga Terengganu sendiri.


Kletak klatok kletak.....


RESEPI EMPING



  • Padi yang dibuat emping itu adalah padi yang separuh matang dan ia seharusnya direndam selama satu malam.
  • Selepas itu, padi itu hendaklah digoreng tanpa minyak sebelum ditumbuk dengan menggunakan lesung sehingga menjadi leper.
  • Padi separuh matang dipilih untuk dijadikan emping kerana ia mudah ditumbuk dan tidak hancur seperti padi.
  • padi hendaklah ditumbuk dengan teratur supaya ia menjadi rangup dan enak dimakan.
  • Makanan ini boleh dihidangkan dengan dua cara iaitu dicampurkan dengan santan dan kelapa parut.





    ........................

    Sunday, July 18, 2010

    KEMAHIRAN SENI ANYAMAN


    Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat Terengganu. Kecekapan tangan diadun dengan ketekunan dan kemahiran yang tinggi boleh menghasilkan sesuatu seni kreatif yang sangat menarik. Mengkuang , pandan, buluh, rotan, kercut boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan bahan-bahan kegunaan seperti beg tangan, selipar, tikar dan hiasan dinding.Pada hari ini, hasil anyaman pandan lebih mendapat tempat di pasaran kerana ia lebih berkilat dan cantik.

    Rusila Terengganu Darul Iman, iaitu tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal.Tokoh anyaman yang terkenal di negeri Terengganu ialah Puan Aminah yang merupakan seorang ahli kraftangan anyaman yang masih aktif sehingga kini.Kejayaan beliau dalam industri ini iaitu pada tahun 1982,apabila beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Pertukangan tangan sezaman anjuran muzium Negara. Antara tokoh-tokoh lain yang berasal dari Terengganu yang telah mencipta motif anyaman ialah :
    •  Cik Siah bt Jumaat mencipta motif Sambas
    •  Hajah Asiah bt. Salleh motif Tapak harimau
    •  Hajah Semek mencipta motif Mak Mek


    Peralatan menganyam :

    1. Lunggai
    2. Gunting
    3. Parang
    4. Peraut ( dari tutup botol/dari kaleng )
    5. Penyucuk











    Memproses Bahan:




    1.Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru.Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang.

     2.Daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya.

    3.Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk.Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka. 

    4.Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan lain.  

    5.Belah yang sudah dilurut dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan berbau busuk.

    6.Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit.

    7.Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut.


    Menganyam:   

    Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon.

     

    Anyaman merupakan satu seni turun-temurun masyakat di nusantara, termasuklah masyarakat di negeri Terengganu.Usaha untuk memartabatkan seni ini merupakan usaha kita bersama.Oleh itu marilah kita bersama-sama memberi sumbangan dan penghargaan terhadap seni kreatif ini dengan memanfaatkan kegunaannya sebagai peralatan di rumah atau sebagai perhiasan sehingga ke anak cucu kita nanti...



    Friday, July 16, 2010

    JOM MINUM


    Hari ini saya akan berkongsi sedikit tip dengan anda jika berkunjung ke negeri Terengganu. Bila anda ke kedai-kedai runcit, warung ataupun pasaraya, jangan lupa membeli minuman Halia Susu Kambing Tok Ali.Merupakan sejenis minuman yang sangat berhasiat kepada manusia dan hanya boleh didapati di negeri Terengganu khasnya.

    Seperti yang diketahui susu dan halia mempunyai khasiat yang tersendiri.Hasil daripada kajian yang telah dibuat, akhirnya lahirlah minuman Halia Susu Kambing.Antara khasiat-khasiatnya :
    1.Dapat mengubati penyakit Demam Kuning
    2. Menghilangkan rasa Sakit kepala.
    3. Menghilangkan rasa sakit urat / sendi.
    4. Mengubati penyakit Hipertitis / hati.
    5. Melancarkan sistem penghadaman.
    6.  Untuk  Sakit-sakit Kulit.
    7. Mengubati penyakit Gastrik.
    8. Mengimbangi kolestrol / masalah kegemukan.

    Cara memancuh minuman ini sama seperti memancuh minuman lain.Masukkan satu uncang Halia Susu Kambing ke dalam cawan, kemudian campurkan dengan air suam,kemudian kacau dan minum...Emm enak.


    Jika anda berminat anda boleh hubungi number seperti yang tertera di bawah. Tunggu apa lagi "beli jangan tak beli"...

    HUBUNGI PENGEDAR KAMI
    KUALA TERENGGANU - HANIF -0139647308

    MARANG - ABDUL HAN -0129697308

    SETIU - AZHAR - 0199782381

    H.TERENGGANU - ZUL - 0199978557

    DUNGUN - HASLI - 0199426406

    PENGEDAR UNTUK BESUT DAN KEMAMAN MASIH DIBUKA- HUBUNGI 0199148700

    Tuesday, July 13, 2010

    JARINGAN PENERBANGAN- FIREFLY


    KUALA TERENGGANU, pada tanggal 14 julai 2010, dalam usaha meningkatkan sektor ekonomi dan bidang pelancongan di negeri ini, syarikat penerbangan tambang murah, Firefly Sdn Bhd (Firefly) mengadakan penerbangan sulung dua hala terus dari Kuala Terengganu ke Singapura.


    Kapal terbang Firefly.

    Buat permulaan, Firefly akan mengadakan tiga penerbangan seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu.Dengan adanya penerbangan terus dari Singapura itu, ia dapat menarik lebih ramai pelancong ke Kuala Terengganu. Sebelum mereka ke pulau-pulau atau tasik sekurang-kurangnya mereka boleh berbelanja dahulu di sini. Dengan demikian ia boleh meningkatkan pendapatan peniaga di sini sekaligus membantu perkembangan ekonomi negeri Terengganu.

    Penerbangan ke Singapura yang boleh memuatkan sehingga 70 penumpang itu memakan masa perjalanan sejam 20 minit dengan tambang RM88 sehala.Kerajaan negeri akan memberikan subsidi untuk syarikat penerbangan itu termasuk cukai penumpang, cukai pendaratan dan parkir dalam usaha untuk menggalakkan lebih banyak penerbangan luar dilakukan terus dari LTSM. Mana-mana penerbangan luar negara yang membawa penumpang terus ke Terengganu akan dikecualikan daripada dikenakan bayaran cukai berkenaan bagi menggalakkan mereka mengunjungi negeri ini. 

    Dalam mengembangkan lagi sektor ini, pihak kerajaan turut merancang untuk membuat penerbangan Terengganu-Guangzhou di China pada masa akan datang supaya kita pun boleh ke sana untuk berbelanja kerana dikatakan barang-barang di sana lebih murah.

    Mengenai keadaan lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) yang dikatakan bocor, kerja-kerja untuk membaikinya telah dijalankan.

    Penumpang yang ingin mendapatkan tambang murah,mestilah membuat tempahan 30 hari sebelum penerbangan kerana tambang biasa yang dikenakan bagi perjalanan Kuala Terengganu-Singapura ialah RM120. 

    Terengganu berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong kerana ia mempunyai sejarah yang menarik, selain pulau-pulau yang indah serta sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di rantau ini. Kewujudan penerbangan Kuala terengganu- Singapura merupakan satu idea yang cukup bijak kerana ia memberikan banyak manfaat kepada rakyat Terengganu khasnya.Kehadiran pelancong yang semakin meningkat sudah tentu akan menguntungkan para peniaga di negeri Terengganu.....Semoga Berbahagia!!!


    Monday, July 12, 2010

    KELAZATAN KETUPAT SOTONG TERENGGANU


    Pada kali ini saya akan berkongsi satu lagi resepi tradisional istimewa masyarakat Terengganu.Ketupat Sotong, mungkin kita tidak pernah mendengarnya, apatah lagi merasai makanan yang sangat unik masyarakat Terengganu ini.Bagi mengetahuinya dengan lebih lanjut, jom ikut saya!


    Bahan-bahan:

    1 kg sotong
    400 gram beras pulut [rendam dalam 1 -2 jam]
    5 cm halia (dimayang)
    3 biji bawang merah (dimayang)
    1 sudu besar halba
    4 cawan santan [dari 1 biji kelapa]
    Lidi kelapa dipotong 2 inci
    1 sudu kecil gula
    garam (secukup rasa)



    Cara Membuat:

    1. Sotong dibuangkan kulit nipisnya dan dibasuh sehingga bersih. Tos kering.
    2. Kukuskan pulut sehingga naik wap.
    3. Angkat pulut dan masukkan dalam mangkuk. Gaulkan dengan 1 cawan santan yg telah dicampurkan garam.
    4. Gaulkan pulut sehingga sebati dan berminyak.
    5.Masukkan pulut anggaran 3/4 badan sotong.
    6. Tutup badan sotong dengan lidi kelapa yang dipotong supaya beras pulut tidak terkeluar.
    7. Rebus sotong tersebut dengan 1 cawan santan sehingga masak dengan api sederhana.
    8. Masukkan lagi 2 cawan santan ,halia, bawang, halba, gula & garam.
    9. Masakkan sehingga mendidih dan agak pekat. 


    Ketupat sotong Terengganu


    Cadangan Hidangan:

     Dimakan begitu sahaja atau bagi menambah kelazatannya boleh dimakan bersama nai putih



    Tambahan:

    1. Kulit sotong yg berwarna ungu kemerahan hendaklah dibuang utk mengelakkan hanyir.
    2. Resepi dari Terengganu ini tidak menggunakan gula perang atau nisan atau gula seperti resepi Kelantan.



    Bagi penduduk di pantai timur, ketupat sotong antara makanan yang dianggap menarik dan mempunyai penggemar tersendiri. Mungkin mereka yang tidak pernah menikmati makanan itu berasa pelik kerana sotong disumbat dengan beras pulut dan rasanya agak manis.
    Apapun, makanan yang dianggap tradisional itu sukar diperoleh di tempat lain sama ada di restoran atau hotel.Namun, jika kita berkunjung ke negeri Terengganu memang cukup mudah untuk menemuinya.Oleh itu tunggu apa lagi, jom lah ke sana...




    Tuesday, July 6, 2010

    INDAHNYA PANTAI BATU BURUK

    Pantai Batu Buruk sememangnya 'buruk’ pada namanya.Namun, ia merupakan lokasi rekreasi yang cukup popular di negeri Terengganu dan paling ramai dikunjungi pengunjung sama ada dalam mahupun luar negara pada setiap tahun .Keindahan lautnya yang membiru dan pantainya yang memutih sungguh mempesona mata yang memandang. Hembusan angin yang sesekali menyapa membuaikan perasaan dek kesegarannya.


    >>Ramai pengunjung Hadir tatkala di hujung minggu


    Setiap petang, pantai ini dipenuhi dengan ramai pengunjung yang mengambil peluang untuk menghirup udara segar dan tidak kurang juga yang membawa anak-anak untuk bermain layang-layang.Layang-layang dan wau dijual di gerai berhampiran.Menurut orang tempatan suasana di siniakan lebih meriah lagi bila tibanya musim wau.Ini turut memberi pulangan lumayan kepada pembuat wau tempatan menjual hasil kerja mereka.


    >>Layang-layang


    Di sini juga terdapat banyak gerai makan yang menyediakan pelbagai jenis hidangan termasuklah hidangan tradisional Terengganu. Nasi dagang antara hidangan yang menjadi pilihan utama pengunjung.Keaslian nasi dagang di sini memang berbeza daripada di negeri-negeri lain dan satu hidangan yang patut anda cuba jika berkunjung ke pulau ini.Selain itu, anda juga boleh menikmati ais krim,jagung bakar, makanan laut bercelup tepung, keropok lekor dan banyak lagi.


    >>Jagung Bakar


    Selain itu, pada setiap hari Jumaat bermula jam 3.00 petang, terdapat pasar malam yang menjual pelbagai jenis barangan termasuklah juadah istimewa masyarakat Terengganu. Jangan lupa dapatkan keropok lekor dan ketupat sotong di sini.Harga yang ditawarkan di pasar malam ini amatlah berpatutan, memang jauh lebih murah berbanding dengan pasar malam di kota-kota besar.


    >>Pasar Malam Jumaat


    Pantai yang indah turut mempunyai beberapa lokasi penginapan untuk anda yang ingin bermalam di sini. Primula Beach Resort merupakan satu-satunya hotel bertaraf empat bintang yang ada di sini. Manakala, Batu Burok Beach Resort merupakan resort yang sesuai untuk semua golongan. Jika inginkan penginapan bajet, anda boleh bermalam di Batu Burok Chalet yang menawarkan harga serendah RM40 semalam.


    >>Pantai Batu Buruk


    Pantai Batu Buruk merupakan destinasi pilihan yang mesti dikunjungi jika bertandang ke negeri Terengganu.Pengalaman bermain layang-layang atau wau pasti akan menjadi satu kenangan yang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan.Oleh itu, 'jom' kita ke sana!!!



    Monday, July 5, 2010

    MENU - KUIH AKOK

    Mempunyai rasa yang enak dan manis,berwarna hijau pucat dan amat sesuai dijadikan hidangan di waktu petang.Jikalau anda bijak rupawan apakah kuih istimewa ini? 




    Kuih Akok merujuk kepada sejenis kuih tradisi tradisional yang popular di Malaysia, terutama di negeri Terengganu. Terdapat 2 jenis kuih akok iaitu biasanya dibuat berbentuk bujur, ikut acuan buah ulu dan akok bunga atau dikenali juga akok Kemboja. Akok rasanya manis bertelor. Cara pengandungan dan pembakaran merupakan faktor yang menjadikan sesuatu kuih akok itu sedap.


    Akok Kemboja


    Bahan-bahan:

    • 10 biji telur ayam
    • 300 gm gula melaka
    • 200 ml air
    • 400 ml santan
    • 2 helai daun pandan
    • 1/2 sudu kecil garam
    • 60 gm tepung (tapi saya guna 70 gm)


    Cara membuatnya:

    1. Masak gula melaka bersama 200ml air hingga larut,masukkan sekali daun pandan yg dicarik2.
    2. Tutup api. biarkan suam.
    3. Campurkan adunan gula melaka tadi dengan telur,santan dan tepung gandum. Kacau dan selepas itu ditapis.
    4. Panaskan acuan akok atau muffin tray.
    5. Letak lapisan paling atas dalam oven. masukkan sedikit minyak dalam acuan. biarkan minyak panas.
    6. Tuangkan adunan ke dalam acuan yang telah dipanaskan.
    7. Bakarlah pada suhu oven 210 degC.Tunggu sehingga masak, kemudian..... hidangkan.

    >>SELAMAT MENCUBA<<

    Sunday, July 4, 2010

    MASJID HILIRAN TERSINGKAP SERIBU SEJARAH

    Tahukah anda Terengganu merupakan negeri terawal menerima pengaruh ajaran suci Islam?Tahukah anda  akibat daripada pengaruh ini wujudnya tinggalan sejarah yang sangat suci dan masih digunakan sehingga kini? Bagi mengetahui dengan lebih lanjut jom ikut saya!!! 


    Sebagai antara negeri terawal menerima pengaruh Islam seperti yang dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat, Terengganu mempunyai beberapa masjid yang kini sudah tua, berseni dan bersejarah.

    Salah sebuah masjid berkenaan ialah Masjid Hiliran yang terletak di Jalan Hiliran,Terengganu.Masjid Hiliran merupakan masjid pertama yang menjadi sekolah Arab di negeri ini. 

    Berdasarkan catatan sejarah, Masjid Hiliran telah wujud di antara zaman Sultan Terengganu pertama dari salasilah Johor iaitu Sultan Zainal Abidin I (7108-1733), Sultan Mansur I (1733-1794) dan Sultan Zainal Abidin II (1794-1808).

    Antara keunikan yang terdapat di sini ialah kewujudan sebuah perigi yang dikenali sebagai Telaga Mandi Gajah Putih yang dipercayai dibina semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918).

    Menurut cerita lisan penduduk setempat, telaga itu dibina menggunakan putih telur, madu lebah, pasir, kapur tohor dan batu-bata.Alkisah, pembinaan telaga itu bertujuan untuk memandikan gajah putih kepunyaan Sultan Zainal Abidin III yang dihadiahkan oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn sebagai tanda persahabatan sempena lawatan baginda dan para pembesar negeri ke Siam.

    Telaga bersejarah itu kini dikelilingi benteng konkrit dan pada dindingnya diletakkan sebuah tempayan yang digunakan sebagai tempat gajah menyedut air untuk dijiruskan ke badannya.

    Hasil daripada kajian, Kampung Hiliran yang menjadi tapak Masjid Hiliran pada zaman dahulu diberi nama tersebut kerana di kawasan itu terdapat satu aliran sungai yang bertemu dengan hilir Sungai Terengganu.Pada zaman dahulu, aliran sungai yang dikenali sebagai Sungai Sri Nilam adalah sungai yang besar dan menjadi laluan utama peniaga dari kampung berhampiran menuju ke Pasar Besar Kedai Payang di kuala Sungai Terengganu.

    Sungai Sri Nilam ketika itu luas dan dalam sehingga perahu besar (kapal tradisional Terengganu) dapat berlabuh bahkan Kampung Hiliran juga dijadikan tempat persinggahan untuk menjalankan aktiviti perniagaan dan perdagangan.Namun,sekarang semua itu sudah berakhir dan kini tinggal hanya satu aliran sungai yang menyerupai aliran parit.

    Pada masa dahulu kampung ini dipecahkan kepada beberapa buah kampung.Antara kampung yang masih kekal menggunakan perkataan 'hiliran' ialah Kampung Hiliran, Kampung Hiliran Jejawi, Kampung Hiliran Telaga Parit dan Kampung Hiliran Masjid.Penamaan Kampung Hiliran Masjid adalah berdasarkan bahawa masjid adalah ciri utama bagi kawasan atau kampung itu.

    Masjid Hiliran pada asalnya dibina daripada kayu sehingga tahun 1925 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah sebelum ia dibina semula dengan gandingan kayu, simen dan batu.Tarikh rasmi pembinaan masjid ini dipercayai dibina lebih 200 tahun lalu.

    Selepas sekian lama, memandangkan masjid itu sudah terlalu usang, seorang alim dan hartawan tempatan, Muhammad Abdul Rahman membiayai semua kos pembinaan masjid di tapak asal masjid lama.

    Uniknya masjid ini kerana atapnya berbeza dengan reka bentuk utama masjid di rantau Nusantara yang berunsur potong bawah (kubah), sebaliknya ia berasaskan bentuk bumbung limas potong perak iaitu salah satu seni bina Melayu terkenal.

    Justeru, beliau adalah pengasas wajah baru Masjid Hiliran dan untuk mengimarahkannya, beliau menjemput beberapa ulama tempatan dan bukan tempatan untuk mengajar agama di masjid itu.Pada awal pembinaan Masjid Hiliran ditadbir sendiri oleh Muhammad Abdul Rahman dan ahli keluarga, bahkan beliau melantik imam dan bilal.

    Muhammad adalah seorang hartawan yang mempunyai rangkaian perniagaan di Thailand, Singapura dan Indonesia. Perniagaan beliau berasaskan barangan tekstil, kayu-kayan, rempah-ratus dan sebagainya.

    Harta wakaf yang berkaitan dengan Masjid Hiliran diurus dan ditadbirkan oleh Muhammad dan ahli keluarga dan antara yang memberi sumbangan ialah anak beliau Muhammad Salih bin Haji Su.

    Pada akhir tahun 1930an, pihak masjid telah mengumarahkan lagi aktiviti di masjid ini.Selain mengadakan kuliah agama, kelas agama dan bahasa Arab turut diadakan di ruang khas masjid yang dinamakan Balai Lintang.

    Kelas dibuka kepada remaja. Masjid pernah mengambil dua guru dari sebuah madrasah di Bukit Mertajam iaitu Ahmad Fuad dan Ahmad Zaki.Setelah kelas ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai ia dipindahkan ke tapak baru Sekolah Agama al-Khairiah.

    Pada tahun 1942, Muhammad kembali ke rahmatullah dan anaknya Haji Su menggantikan tempatnya sebagai pentadbir Masjid Hiliran.Selanjutnya setelah Haji Su meninggal dunia pada tahun 1952, pentadbiran masjid diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).




    Masjid Hiliran telah menempa sejarah dalam pendidikan Islam terawal di negeri Terengganu.Sebagai orang islam khasnya muslimin menjadi tanggungjawab kita untuk mengumarahkan rumah yang mulia ini.Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha melakukan amal ibadat di rumah yang sangat mulia ini agar hidup kita sentiasa mendapat keredoanNya..Amin.

    Saturday, July 3, 2010

    KEHANGATAN KOLAM LA HOT SPRING


    Anda mungkin mempunyai cita-cita untuk ke negara matahari terbit iaitu Jepun, kerana di sana terdapat Gunung Fuji yang mempunyai banyak kolam air panas.Berendam di kolam air panas menjadi  satu aktiviti santai yang menarik dan amat popular di negera Jepun.Namun kini anda tidak perlu terbang sejauh itu, kerana "LA HOT SPRING" di Terengganu juga mampu menjanjikan kepuasan dan kehangatan kolam air panas kepada anda. 


    Kolam air panas "LA HOT SPRING"

    Kawasan air hangat ini terletak di pendalaman Hulu Besut kira-kira 28 km dari Bandar Jertih Terengganu. Pusat Pelancongan ini atau lebih dikenali dengan panggilan "LA HOT SPRING" telah dibuka kepada orang ramai sebagai tempat pelancongan pada tahun 1992 sempena perlancaran Ekspo Pembangunan dan Pekan Budaya Daerah Besut.

    La Hot Spring merupakan tempat yang menjadi tumpuan samada dari kalangan pengunjung dalam dan luar negera. Ia terletak di Kg. La, Jerteh dan jarak dari bandar Jerteh lebih kurang 30km.Jika anda datang dari bandar Kuala Terengganu, anda boleh menghala ke Jerteh dan setibanya di papan tanda untuk ke La Hot Spring, teruskan perjalanan anda untuk sampai ke sini. Jaraknya dari bandar Terengganu lebih kurang 100km dan dari persimpangan untuk ke La Hot Spring lebih kurang 10km.Setibanya anda ke sini anda perlu membayar tol parking sebanyak RM2 sahaja.


     Ramai penyunjung mandi-mandi tatkala di hujung minggu


    Kehangatan airnya


    Pusat rekreasi ini sebenarnya sudah lama wujud dan dikunjungi oleh penduduk tempatan pada setiap hujung minggu dan cuti am untuk menikmati keindahan alam semulajadi.Mengikut cerita-cerita masyarakat setempat kawasan ini telah ditemui oleh Penghulu Ibrahim bin Haji Mat ketika memburu sejak zaman pemerintahan Inggeris lagi.Lokasinya yang terlalu terpencil di tengah-tengah hutan menyebabkan kawasan ini tidak dikunjungi oleh sesiapa pada ketika itu.Namun, hasil penerokaan tanah yang dijalankan oleh FELDA menyebabkan kolam air panas ini mula dikenali dan dikunjungi ramai.

    Pengunjung bukan saja berpeluangberpeluang mandi-manda, namun turut dapat melihat keajaiban air hangat yang keluar menerusi lubang dari sebuah bukit dan terus mengalir ke dalam kolam yang disediakan.

    Air hangat yang mengalir ini mengandungi kimia "SULFUR" atau belerang dengan kehangatannya mencapai 49 darjah celsius. Ianya berkhasiat untuk mengubati penyakit seperti gatal-gatal kulit, lumpuh,dan darah tinggi. Disini juga terdapat "Wadding pool" bekas air hangat ( thermos ). 


    Air kolam ini dipercayai boleh menyembuhkan penyakit


    La Hot Spring juga terkenal dengan cerita dongeng masyarakat melayu iaitu cerita Puteri Saadon.Kononnya kolam air panas ini dijaga oleh Puteri Saadon, dan ada ketikanya puteri akan datang untuk mandi di sini.Penduduk setempat juga mendakwa mereka pernah bertemu dengan puteri tersebut dan jika anda datang melawat ke sini anda di larang keras membuang sampah di merata-rata tempat kerana dikatakan ianya akan dimarahi oleh puteri yang menjaga tempat ini,kebenaran cerita ini tidak dapat di pastikan,kerana ini hanyalah cerita dari penduduk setempat sahaja.


    LA HOT SPRING

    Berendam di kolam air panas "LA HOT SPRING" menjadikan percutian di hujung minggu anda menjadi lebih bermakna.Selain dapat merehatkan minda dan bersantai bersama keluarga, percutian di sini juga mungkin dapat mengubati penyakit yang dihidapi khasiat daripada kandungan air kolam panas ini.Oleh itu tunggu apa lagi, jom kita berkunjung ke sana!!!    

    Friday, July 2, 2010

    PANTUN SELOKA TERENGGANU



    Molek serama tiada berbanding,
    Bila bersabung terpatuk diri,
    Jari telunjuk tunding menunding,
    Empat jari tertunding diri.

    Minah bertiga bercanda seloka,
    Seronok membanding emas suasa,
    Roket boikot itupun derhoka,
    Dacing boikot wajarkah rasa?

    Anak cina bertutur pelat,
    Kalau ditegur biarlah tegas,
    Dijunjung rakyat Raja berdaulat,
    Menteri hanya pemudah tugas,

    Kelat salak tiada perinya,
    Jangan dihidang di balai raya,
    Raja bertakhta daulat empunya,
    Patik-menteri apatah daya?

    Laskar Siam serang ke muara,
    Ayuh mari dipasang pelita,
    Tinggi pangkat menteri bentara,
    Tinggi lagi Raja di takhta.

    Melenting jangan walau teruja,
    Nafsu terkawal tetiap ketika,
    Disampuk jangan titah diraja,
    Nantikan dianggap biadap derhoka,

    Emas tertinggal di atas para,
    Andai tercuri kesal terasa,
    Marilah rakyat sebulat suara,
    Menjunjung Sultan tunggak nusa,

    Pergi berkunjung ke Lata Belantan,
    Jangan ditinggal si AWang Budiman,
    Allah daulatkan Tuanku Sultan,
    Terengganu Darul Iman....


    >>Mane yang baik amik la jadikan pengajarang dan mane yang buruk tu jadikanlah sempadang ye.... <<

    Thursday, July 1, 2010

    RESEPI - LAKSA TERENGGANU


    Laksa Terengganu merupakan sejenis makanan yang sangat popular di Terengganu.Makanan ini sering dihidangkan samaada di waktu pagi atau pun petang.Laksa Terengganu dikatakan mempunyai rasa yang sangat enak dan berbeza daripada laksa negeri lain.Bagi mengetahui perbezaan serta keenakan makanan ini jom kita telusuri!!!

    Laksa Terengganu biasanya dihidangkan bersama dua jenis kuah, iaitu kuah masak dan kuah mentah. Kuah mentah biasanya dibuat dengan menggunakan santan yang diharong (dicampur air panas) sahaja tanpa dimasak, dan dicampurkan dengan lada hitam, bawang dan isi ikan. Kuah masak pula disediakan dengan rempah dan hampir sama dengan kuah laksa Johor, tetapi lebih kuning. Kuah mentah biasanya tidak tahan lama dan perlu dibuat hanya apabila hendak dihidangkan.

    Laksa Terengganu biasanya dihidangkan dalam beberapa gabungan dengan menggunakan laksa tepong (gandum) atau laksa beras contohnya laksa tepong dan kuah masak, laksa tepong dan kuah mentah, laksa beras dan kuah masak, atau laksa beras dan kuah mentah.




    Bahan-Bahan

    Laksa:

    • ½ kg laksa tepung beras

      Ulaman:
      • 2 biji timun (dihiris)
      • 2 pokok daun salad (dihiris)
      • 2 kuntum bunga kantan (dihiris)
      • ¼ kg tauge
      • Seikat daun kesum
      • 2 biji limau nipis 

        Kuah:
        • 10 ekor ikan kembung atau tamban (dibakar kemudian dibuang tulangnya lalu dikisar)
        • 2 labu bawang besar (ditumbuk halus)
        • 1 camca besar lada sulah
        • 2 biji kelapa atau 1 peket santan serbuk (ambil lima cawan santan)
        • 3 camca besar kerisik
        • 4 camca besar gula pasir, garam secukup rasa

        Sambal belacan: 
        • 100 gm cili merah
        • 20 gm belacan [ dibakar wangi]
        • garam
              Tumbuk cili merah bersama belacan hingga lumat.



        Cara-cara

        1. Ikan yang telah dikisar, dicampurkan bersama santan.
        2. Masukkan bawang, kerisik, gula, garam dan lada sulah.
        3. Masak hingga menggelegak, kemudian angkat.
        4. Hidangkan bersama sayur yang telah dihiris tadi.


        Pada kebiasaannya laksa Terengganu di makan dengan menggunakan tangan, ini akan membuatkan ia berasa lebih asli dan enak.....Selamat mencuba.