Tuesday, May 25, 2010

KRAF TEMBAGA

Tradisi menempa bahan-bahan logam seperti timah, tembaga, besi dan perak telah lama wujud di negara kita. Di negeri-negeri Pantai Timur, khususnya Terengganu dan Kelantan, tradisi ini telah wujud semenjak sekian lama. Di negeri Terengganu misalnya, tradisi membuat alat-alat tembaga seperti tepak sirih, anak kasa, kacip, periuk belanga dan sebagainya masih dijalankan sehingga ke hari ini.Teknik pembuatan masih dikekalkan walaupun penggunaan beberapa peralatan baru diperkenalkan.



Kraftangan merupakan industri yang sangat popular di negeri Terengganu.Antara anak muda yang telah terlibat aktif dalam industri ini ialah Shahrol Khairuddin Ali, 35, anak jati Terengganu.Shahrol Khairuddin mula terlibat dalam industri ini apabila beliau sedar yang barang-barang tembaga semakin hari semakin berkurangan ekoran kurangnya pengusaha yang mahu meneruskan tradisi pembuatan kraf tembaga.Bantuan yang diberikan oleh pihak MARA terhadap beliau secara tidak langsung telah menggerakkan beliau untuk terlibat aktif dalam industri pembuatan kraf tembaga ini.

Shahrol Khairuddin Ali

Biasanya hasil kraftangan ukiran tembaga ialah tulisan khat berupa ayat al-Quran yang dipamerkan di dinding-dinding dan ambang pintu masjid dan rumah. Selain itu, ukiran tembaga juga digunakan sebagai mural atau lukisan dinding untuk menghias pejabat, atau sebagai plak untuk memperingati sesuatu acara.

Proses Pembuatan


 Kraftangan tembaga di Malaysia dihasilkan melalui dua kaedah utama iaitu acuan penghapusan lilin dan goresan timbul.

Acuan Penghapusan Lilin. 
Teknik ini boleh dibahagikan kepada empat langkah;

  1. Pembentukan - proses membentuk kayu untuk dijadikan asas acuan dan merangka bentuk dan corak barang yang akan dihasilkan.
  2. Membuat Acuan - Proses membuat kelonsong atau teras bentuk barang yang diingini. Acuan dicelup ke dalam lilin berulang kali mengikut ketebalan yang dikehendaki. Kemudian lilin dilarik supaya seimbang dan sama rata, sesuai dengan bentuk luar barang itu. Lilin yang telah siap dilarik, ditampalkan dengan tiga lapisan tanah liat halus.
  3. Lebur/Menuang - Proses mencairkan campuran logam dan memasukkannya ke dalam acuan. Tembaga dileburkan di dalam bekas khusus menggunakan api dapur yang dipanggil relau. Api relau juga digunakan untuk mencairkan lilin di dalam tanah liat halus. Lilin cair itu dituang keluar, meninggalkan rongga yang membentuk acuan. Dalam satu variasi teknik ini, lilin acuan dibalut dengan campuran tanah liat, pasir dan sekam padi. Apabila acuan dibakar , lilin mencair dan menyerap ke dalam campuran pembalut itu. Cairan tembaga lebur dituangkan ke dalam acuan itu dan ditinggalkan hingga sejuk dan membeku. Kemudian, tanah liat yang dijadikan acuan itu dipecahkan untuk mendapatkan barangan tembaga yang masih kasar permukaannya.
  4. Mencuci/menggilap - Proses ini melibatkan kerja-kerja pengemasan yang merangkumi mencuci, memateri,mengikis dan menggilap. Tompok-tompk hitam dan logam yang berlebihan pada barang yang dikeluarkan dari acuan, dikikis hingga bersih. Ciri-ciri yang tidak dapat dibentuk di dalam acuan, dipaterikan. Kemudian barang itu digosok dengan kertas pasir dan digilap dengan sejenis kimia yang memberikan kemasan halus dan berseri.




Goresan/ukiran timbul 
  1. Dalam teknik ini, kepingan tembaga ditekan supaya alat runcing yang tumpul supaya permukaannya timbul, membentuk gambaran yang dikhendaki. Ruang yang tenggelam itu kemudian diisikan dengan sejenis gala yang mengeras dan memastikan gambaran yang terhasil tidak kemek.
  2.  
Kemasan:
Semua barang yang telah siap digilap diperiksa untuk memastikan tiada kecacatan. Jika terdapat lubang halus, misalnya, lubang itu ditampal dengan timah hitam.


Alat dan Proses

Kelengkapan utama yang diperlukan untuk kerja mengukir tembaga ialah penukul kayu, gunting, set alat pengukir, penggilap dan cat gelap.

Rekacorak yang ingin dihasilkan dilukis selengkapnya di atas kertas. Kemudian rekacorak itu dipindahkan ke kepingan tembaga samada dengan menekapnya atau dengan membuat lukisan bernisbah, mengikut saiz yang diperlukan.

Kepingan tembaga yang tertera dengan rekacorak, diletakkan di atas sehelai kain selimut atau beberapa helai kertas yang dibentangkan di atas permukaan rata. Alas kain atau kertas ini membolehkan permukaan tembaga yang ditekan atau diketuk tenggelam tetapi tidak mencalarkan permukaan di sebaliknya.

Dengan gaya memahat, penukul dengan cermat diketukkan ke kepala alat ukir, hingga permukaan keping tembaga perlahan-lahan lekuk. Kemudian bahagian yang lekuk itu diisikan dengan bahan lepa. Sekarang, biasanya simen digunakan sebagai bahan lepa, tetapi dahulu gala dempul lebih kerap digunakan. Dempul ialah campuran kapur dan minyak jarak.

Apabila lepa kering, cat gelap disapukan pada seluruh permukaan rekacorak. Kemudian, setelah cat kering, rekacorak itu digilap. Dalam proses ini, bahan penggilap disapukan pada bahagian-bahagian tertentu untuk menanggalkan cat dan menyerlahkan warna dan cahaya tembaga. Apabila siap, kepingan tembaga hasil kraftangan dibingkaikan.

Kraf tembaga memang cantik dan unik rekaannya.Seni pembuatannya cukup halus dan memerlukan seniman yang cukup berkemahiran dan arif.Dalam usaha mengekalkan seni ini, kita sewajarnya mengambil insiatif untuk melibatkan diri dalam industri ini agar seni ini dapat terus wujud hingga ke akhir zaman...