Wednesday, May 26, 2010

JOM SINGGAH KE KMTT



Kuala Terengganu,Kompleks Makanan Tradisional Terengganu (KMTT) yang terletak bersebelahan Sungai Terengganu di Taman Shahbandar, di sini, mula memikat hati pengunjung.Kompleks  yang dirasmikan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah pada dua tahun yang lalu sudah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelancong.

Bentuk kompleks ini direka dengan bentuk yang sangat unik bertujuan menjadi daya tarikan pengunjung malah keenakan makanan tradisional Terengganu dijual di kompleks ini turut menarik minat orang ramai.

Kompleks ini dibuka mulai jam 9 pagi hingga 5.30 petang mampu menarik kira-kira 50 pengunjung sehari dan jumlah itu meningkat kepada 200 orang pada cuti umum.


Makanan tradisi dari pelbagai jenis


Kompleks yang diuruskan sepenuhnya oleh Serikandi bukan saja menyediakan makanan tradisional negeri ini, malah pelbagai kraf hasil ciptaan anak Terengganu untuk dijual kepada orang ramai.Kepelbagaian produk tempatan yang dijual di kompleks ini membolehkan KMTT mencatatkan jualan antara RM300 hingga RM500 sehari walaupun masih baru beroperasi.

Selain menjual secara terus kepada orang ramai, KMTT menerima tempahan untuk barangan hantaran majlis perkahwinan dan cendera hati untuk majlis keraian.Berikutan sambutan menggalakkan, KMTT menambah produk kraf daripada 50 kepada 80 jenis mulai tahun ini untuk memberi peluang kepada pengunjung memilih barangan yang ditawarkan dengan harga yang berpatutan.


 Pelbagai produk kraf boleh didapati di KMTT


Antara produk kraf yang dijual termasuk kotak mengkuang, bakul, bingkai gambar songket, tiga segi batik, bakul rotan, tudung saji, tikar kecil dan barangan berasaskan kayu dan tembaga.Makanan tradisional Terengganu yang dijual pula termasuk semang, buah rotan, rempeyek, apit-apit, sagun, halwa roselle, rokok arah, kuih bakar, dodol dan gula manisan.

KMTT juga berusaha mengadakan promosi produk makanan Terengganu di luar negara.Makanan akan dibungkus secara menarik dan tahan lama sebelum dihantar.Antara kejayaan terbesar setakat ini, KMTT berjaya menembusi pasaran Dubai apabila buah rotan dan dodol dapat dijual di negara ini selain dipasarkan di pasar raya tempatan.

Pembinaan kompleks ini merupakan satu idea yang sangat kreatif dan bijak.Berbagai manfaat yang akan diperolah antaranya membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu sendiri, selain sebagai usaha memelihara makanan dan seni kraf tangan tradisi negeri Terengganu.Kejayaan yang dilihat iaitu menembusi pasaran luar negara menunjukkan betapa bernilainya produk tempatan ini.Oleh itu, marilah kita sama-sama memberi galakan dengan berkunjung dan membeli barangan di sini....SALM..tq