Wednesday, July 21, 2010

TRADISI MENGEMPING

Pernahkah anda melihat makanan yang diberi nama EMPING? Jika soalan ini ditanya kepada generasi muda sudah tentu, mereka tidak akan dapat menjawabnya, malah tidak dapat menggambarkan bentuknya sekalipun.

Emping iaitu sejenis makanan yang diperbuat daripada padi muda suatu ketika dulu sering dihasilkan sebagai tanda kesyukuran golongan petani terhadap hasil pertanian mereka.Sehingga hari ini makanan itu tetap digemari oleh masyarakat terutama golongan tua namun sekarang proses mengemping semakin dilupakan sehingga tidak lagi diketahui oleh golongan muda.

Pada suatu ketika dahulu, setiap kali tiba musim menuai padi di negeri terengganu, pasti bunyi kletak klatuk kletak,,,, akan kedengaran di sekitar kampung.Bunyi itu bukannya terhasil daripada peralatan muzik tradisional tetapi ia adalah bunyi yang terhasil untuk membuat emping padi iaitu ketika proses padi ditumbuk. Ia juga dijalankan sebagai salah satu hiburan kepada penduduk kampung kerana aktiviti berkenaan boleh menghasilkan bunyi seperti muzik yang kuat jika kena pada gayanya.


 Mengemping padi


Menyedari hakikat itu, baru-baru ini  Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah menganjurkan demonstrasi menumbuk emping di perkarangan jabatan itu di Bukit Losong, Kuala Terengganu yang disertai oleh 50 peserta dari empat daerah.


Aktiviti menumbuk emping


Kebiasaannya, kumpulan mengemping terdiri daripada enam hingga 10 orang yang biasanya adalah golongan wanita. Mereka akan menumbuk padi secara beramai-ramai dengan menggunakan lesung sehingga padi itu menjadi leper.

Pada majlis tersebut, kumpulan berkenaan menunjukkan demonstrasi mengemping padi yang melibatkan beberapa peringkat pemprosesan sebagai memulihara warisan nenek moyang.

Melalui program yang diadakan pihak  Lembaga Muzium Negeri Terengganu berharap tradisi mengemping padi akan terus diamati dan diamalkan oleh generasi ke generasi, khasnya warga Terengganu sendiri.


Kletak klatok kletak.....


RESEPI EMPING



  • Padi yang dibuat emping itu adalah padi yang separuh matang dan ia seharusnya direndam selama satu malam.
  • Selepas itu, padi itu hendaklah digoreng tanpa minyak sebelum ditumbuk dengan menggunakan lesung sehingga menjadi leper.
  • Padi separuh matang dipilih untuk dijadikan emping kerana ia mudah ditumbuk dan tidak hancur seperti padi.
  • padi hendaklah ditumbuk dengan teratur supaya ia menjadi rangup dan enak dimakan.
  • Makanan ini boleh dihidangkan dengan dua cara iaitu dicampurkan dengan santan dan kelapa parut.





    ........................