Pada kali ini saya akan menceritakan kepada anda satu lagi keindahan alam yang terdapat di negeri Terengganu iaitu gua batu kapur,Gua Bewah.Mungkin bukan semua daripada anda pernah pergi ke gua, apatah lagi menyelusurinya.Untuk mengetahui keunikan gua dan apa yang terdapat di dalam gua, jom ikut saya!..
Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu kira-kira 578 meter dari aras laut, terdapatnya sebuah gua batu kapur yang mempunyai berbagai keistimewaan dan keunikan dari segi bentuk semulajadi yang wujud di dalam gua ini.Antaranya ialah bentuk burung unta dan lembaga manusia yang sedang sujud.Namun, di sebalik keistimewaan itu, tersingkap sejarah bahawa gua yang dikenali sebagai Gua Bewah ini adalah penempatan manusia di zaman Mesolitik dan Neolitik
Bewah bermaksud aktiviti kenduri-kendara . Terdapat beberapa gua batu kapur yang lain di sini seperti Gua Taat dan Gua Batu Tok Bidan.Gua Bewah juga dikenali sebagai Gua Tahi Kelawar . Najis burung kelawar menghasilkan tanah yang sangat subur khususnya di sekitar sepanjang tangga dari pelantar Bewah hingga ke pintu masuk gua dan kaya dengan tumbuhan keladi besar dan cili padi.
Dalam usaha untuk memperkenalkan gua ini, Tanjung Bewah telah dibangunkan sebagai tapak perkhemahan yang lengkap.Tandas, pondok wakaf dan barbeque telah dibina bagi memudahkan pelawat Gua ini juga turut dikenali dikalangan pemancing yang datang untuk memancing di Tasik Kenyir.
Gua Bewah juga dilengkapi dengan sistem solar untuk menyalurkan kuasa elektrik bagi pencahayaan lampu di dalam gua berkenaan bagi kemudahan pengunjung yang berkunjung ke situ.
Di samping itu, kerajaan negeri membina laluan untuk memudahkan pergerakan pengunjung dan pengunjung juga boleh membawa lampu suluh kerana tidak semua kawasan di dalam gua berkenaan dilengkapi dengan lampu.
ARTIFAK DI GUA BEWAH
Pada 10 hingga 24 Julai 1976, Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu telah melakukan ekskavasi bagi menyingkap kewujudan zaman prasejarah di sini.Artifak yang ditemui termasuklah rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang-cengkerang siput sedut yang dipotong pada segmen ketiga.Titisan air menghasilkan pelbagai bentuk dan saiz formasi stalaktit (yang meruncing dari siling gua) dan stalakmit seperti burung unta dan lembaga manusia. Terdapat spesies endemik lipas ekor biru dan lumut hijau berkilauan.
Pada Mei 1956, arkeologis British, R.O.D. None yang bertugas di Muzium Perak pernah mengkaji gua itu dan menemui beberapa artifak penting zaman Neolitik termasuk kapak batu, kendi dan mangkuk tanah.
Arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.Lebih 600 artifak seperti rangka manusia, tulang binatang, sisa makanan dan tembikar dipercayai berusia melebihi 10,000 tahun telah ditemui sepanjang pencarian ini dijalankan.
Artifak yang dijumpai ini akan dianalisis bagi mengetahui sama ada ia datang dari zaman Mesolitik atau Neolitik. Dari segi sejarah, penemuan artifak di Gua Bewah itu penting bagi memudahkan muzium mengetahui susur galur penduduk Terengganu.
PERJALANAN KE SINI
Mereka yang berminat untuk mengunjunginya boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan menaiki rumah bot untuk ke gua berkenaan menerusi ejen yang disediakan iaitu Bahtera Petang Houseboat.
PENGINAPAN YANG DISEDIAKAN
Bahtera Petang Houseboat mampu memuatkan maksimum 12 orang dalam satu-satu masa dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada tempoh yang dikehendaki oleh pengunjung.Bagi pakej dua hari satu malam, bayaran yang dikenakan oleh perkhidmatan itu ialah RM280 dan pakej tiga hari dua malam, RM470 dikenakan manakala RM188 akan dikenakan sekiranya pengunjung menambah sehari bermalam.
Bahtera Petang Houseboat mempunyai dua bilik di mana satu bilik mempunyai dua katil bujang manakala sebuah bilik lagi mempunyai dua buah katil bertingkat dan lebihan enam penumpang lagi, mereka akan diberi kelengkapan tidur untuk tidur lobi rumah bot.
Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan rumah bot melalui Jeti Jenagor atau Pangkalan Gawi.
Menyelusuri gua merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan tidak dapat dilupakan.Melihat sendiri tinggalan sejarah yang terdapat di dalam gua ini akibat daripada wujudnya penempatan di dalam gua ini pada zaman dahulu kala sememangnya satu pengalaman yang hebat.Selain itu kita juga dapat menyaksikan berbagai rupa bentuk batu kapur yang sangat unik dan cantik.Sebagai pencinta alam tunggu apa lagi marilah kita pergi ke gua bersejarah ini...Bye2