Sunday, July 18, 2010

KEMAHIRAN SENI ANYAMAN


Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat Terengganu. Kecekapan tangan diadun dengan ketekunan dan kemahiran yang tinggi boleh menghasilkan sesuatu seni kreatif yang sangat menarik. Mengkuang , pandan, buluh, rotan, kercut boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan bahan-bahan kegunaan seperti beg tangan, selipar, tikar dan hiasan dinding.Pada hari ini, hasil anyaman pandan lebih mendapat tempat di pasaran kerana ia lebih berkilat dan cantik.

Rusila Terengganu Darul Iman, iaitu tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal.Tokoh anyaman yang terkenal di negeri Terengganu ialah Puan Aminah yang merupakan seorang ahli kraftangan anyaman yang masih aktif sehingga kini.Kejayaan beliau dalam industri ini iaitu pada tahun 1982,apabila beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Pertukangan tangan sezaman anjuran muzium Negara. Antara tokoh-tokoh lain yang berasal dari Terengganu yang telah mencipta motif anyaman ialah :
  •  Cik Siah bt Jumaat mencipta motif Sambas
  •  Hajah Asiah bt. Salleh motif Tapak harimau
  •  Hajah Semek mencipta motif Mak Mek


Peralatan menganyam :

1. Lunggai
2. Gunting
3. Parang
4. Peraut ( dari tutup botol/dari kaleng )
5. Penyucuk











Memproses Bahan:




1.Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru.Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang.

 2.Daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya.

3.Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk.Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka. 

4.Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan lain.  

5.Belah yang sudah dilurut dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan berbau busuk.

6.Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit.

7.Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut.


Menganyam:   

Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon.

 

Anyaman merupakan satu seni turun-temurun masyakat di nusantara, termasuklah masyarakat di negeri Terengganu.Usaha untuk memartabatkan seni ini merupakan usaha kita bersama.Oleh itu marilah kita bersama-sama memberi sumbangan dan penghargaan terhadap seni kreatif ini dengan memanfaatkan kegunaannya sebagai peralatan di rumah atau sebagai perhiasan sehingga ke anak cucu kita nanti...