HARI BAPA adalah hari untuk kita mengenang kembali jasa dan pengorbanan seorang insan yang dipanggil ayah, yang disebut abah, yang saban waktu diingat-ingat sebagai seorang papa. Tak kisah apa pun gelaran bagi mereka, namun ayah, bapa, papa, abah, daddy dan sebagainya punya nilai yang mesti kita hargai, kita sanjungi dan kita ingati.
Pada hari ini iaitu pada tanggal 20 jun 2010, sekali lagi kita berpeluang menyambut hari yang cukup bermakna ini terutamanya kepada seseorang yang telah digelar "bapa".Jasa dan pengorbanan seorang bapa sangat besar terhadap anak-anak.Menyediakan berbagai keperluan, makanan, pakaian serta pendidikan sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya pengorbanan seorang bapa.
Hari bapa merupakan peluang yang amat sesuai untuk anak-anak menunjukkan penghargaan serta sanjungan mereka terhadap seorang bapa yang telah banyak berkorban.Sudah menjadi kebiasaan pada hari ini anak-anak akan mengucapkan selamat hari bapa dan kemudiannya memberikan hadiah yang cukup bermakna kepada bapa mereka.Bagi seorang bapa walaupun hadiah yang diberikan tidaklah seberapa harganya namun itu sudah mencukupi bagi mereka, kerana bagi golongan ini kasih sayang serta perhatian yang ditunjukkan anak-anak yang mereka mahukan.
Bagi mereka yang masih punyai bapa, maka hargailah keberadaan mereka bersama anda. Yang telah tiada, maka doakanlah untuk kesejahteraan mereka di sana.
Amalan hormat menghormati pada yang tua, sayang menyayangi dengan yang muda seharusnya dijadikan budaya harian, adat warisan.Sayang yang tua, kasihkan yang muda. Sayang pada ayah, kasihkan pada anak-anak. Itu yang diharapkan.
Selamat Hari Bapa!