Nasi Dagang merupakan hidangan istimewa yang terkenal di Terengganu dan Kelantan.Namun, terdapat perbezaan di antara kedua-dua nasi ini. Hari ini saya akan menceritakan kepada anda tentang keistimewaan nasi dagang Terengganu dan cara membuatnya.
Nasi dagang Terengganu biasanya diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut dan dimasak bersama-sama santan kelapa.Ia dihidangkan dengan kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan aya hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar, dipotong. Selain itu acar timun juga disediakan.
Nasi dagang dikatakan dikenali sedemikian kerana, hanya mempunyai satu lauk (tanpa acar timunnya). Mudah, bagaikan mereka yang dalam perdagangan tanpa penyediaan lauk-pauk yang banyak.
Nasi Dagang
Di sini saya ade selitkan sedikit tip cara untuk memasak nasi dagang, anda cuba di rumah.
Bahan-Bahan:
1 cawan beras pulut
3 cawan beras biasa
1 biji kelapa (saiz agak besar)
10 ulas bawang merah
1 ruas jari halia
1 camca halba
2 sudu besar gula
Garam sedikit rasa Kelapa hendaklah di ambil dan diasingkan santan pekat dan santan cair
Cara memasak:
- Bawang merah, halia yang telah dihiris halus, halba, gula dan garam dimasukkan ke dalam santan pekat ( Beras pulut dan beras biasa dicampurkan bersama dan direndam dengan air sejuk selama 6 jam. Kemudian basuh bersih dan toskan ).
- Panaskan air dalam periuk kukus hingga mendidih. Kukus beras sehingga 3/4 masak. Angkat dan tuang beras ke dalam bekas. Gaul beras dengan santan cair hingga rata. Kemudian kukus sekali lagi hingga masak.
- Angkat dan tuang beras ke dalam bekas. Kali ini gaul dengan santan pekat yang bercampur dengan bahan hirisan/mayam dan perasa hingga rata dan sebati.
- Nasi tidak perlu dikukus lagi.
Nasi dagang sangat enak rasanya, tambah lagi jika dimasak oleh orang yang mahir memasaknya.Bagi mereka yang baru belajar mungkin tidak lagi mampu melahirkan keenakan tersebut.Namun tidak salah mencuba.Jika anda ingin betul-betul belajar berkunjunglah ke negeri Terengganu agar anda dapat merasai keaslian nasi dagang.