Aduhai sedapnya.....itu jawapan yang akan diberikan oleh penggemar makanan tradisional negeri Terengganu apabila ditanya kepada mereka tentang kelazatan Sata Terengganu.Sata merupakan salah satu kuih-muih tradisional dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia banyak terdapat di Terengganu, Kelantan dan Pahang (sekitar sempadan Pahang-Terengganu).
Perkataan sata bermaksud lurus. Mungkin kerana sata ini dimasak dengan cara dicucuk pada belahan buluh lurus dan dipanggang (seperti sate), ia dipanggil sedemikian. Harganya agak murah dan cara penyediaan adalah ringkas. Apa yang merumitkan ialah semasa proses memanggangnya. Jika tidak pandai, sata mungkin akan hangit di bahagian luar, tetapi mentah di bahagian dalam. Penyediaan ramuan sata juga melibatkan kelapa. Jadi, jika sata tidak disediakan dengan bersih, ia boleh menjadi basi dalam tempoh masa yang singkat.
Jika dilihat dari segi cara membuatnya, ia juga hampir menyerupai otak-otak.Namun,terdapat perbezaan antara kedua-dua makanan ini.Perbezaannya terletak pada bentuk, rupa, warna dan cara bugkusannya. Berbanding otak-otak yang yang diletakkan dalam lapisan daun kelapa dan diklip di bahagian hujung kedua-dua belahnya, sata pula dibungkus di dalam daun pisang dan dilipat bagaikan kuih koci. (seperti bungkusan nasi lemak daun pisang, tetapi saiznya lebih kecil).
Jika anda berpeluang melawat ke bahagian timur semenanjung ini, lengkapkan lawatan anda dengan pergi ke pasar malam dan merasa hidangan ini. Kebiasaannya, di kawasan pasar malam, anda boleh mendapatkan sata daripada gerai yang turut menjual otak-otak. Salah satu pasar malam di Terengganu yang menjual menu unik ini ialah Pasar Malam Pengadang Baru, yang terletak di Jalan Kuala Berang, beberapa kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Sekiranya dari Kuala Terengganu, anda turun ke Ajil untuk menikmati buah-buahan tempatan, anda akan lalu di sini.
RESEPI SATA
- Ikan kembung(ikan selayang boleh, ikan mata uji rashid pun boleh,ikan tamban pun boleh)
- Gula secukup rasa
- Garam secukup rasa
- Kelapa muda dalam setengah biji
- Lada hitam ditumbuk halus
- Cili padi ditumbuk halus..kalau suka cincang pun boleh..
- Lada merah/cili kering ditumbuk
- Bawang besar dalam 4 biji di tumbuk atau dicincang pun boleh.
- Daun kadok dicincang halus atau daun kesum pun boleh.
CARA-CARANYA
- Kisar atau tumbuk isi ikan tersebut sehingga lumat.
- Kemudian gaul kesemua bahan-bahan diatas bersama isi ikan sehingga menjadi sebati.
- Masukkan bahan-bahan yang telah sebati itu tadi ke dalam kelongsong daun pisang yang telah dilayur oleh api
- Sata yang telah dimuatkan di dalam kelongsongnya akan dicucuk pada belahan buluh lurus sebanyak 5 atau 6 biji kelongsong setiap satu (bergantung kepada kehendak).
- Akhir sekali, sata akan dipanggang atau dibakar di atas bara arang sehinggalah masak.