Monday, June 28, 2010

AIR TERJUN TUJUH TINGKAT DI LATA TEMBAKAH


Merangkumi kawasan seluas 300 hektar dan terletak kira-kira 24 km dari Jerteh dan 130 km dari Bandar Kuala Terengganu.Kawasan Hutan Lipur Lata Tembakah merupakan sebuah hutan hujan tropika yang dikelilingi oleh hutan simpan kekal pelagat.Kawasan ini mula dimajukan sekitar tahun 1987 dan menjadi tarikan pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar negeri disebabkan oleh beberapa keistimewaan yang terdapat disini.

  • Air terjunnya yang cantik setinggi 50m
  • Kemudahan yang lengkap terutamanya untuk program persekolahan
  • Mempunyai air terjun tujuh tingkat.
  • Terdapat banyak kolam yang cantik untuk aktiviti mandi-manda
  • Terdapat trek untuk aktiviti jungle tracking.

Hutan lipur yang masih suci daripada pembangunan ini menyajikan keindahan flora dan fauna menakjubkan. Desiran air terjun disulami kicauan pelbagai unggas memberikan pemandangan sungguh mendamaikan dan mampu mengajak pencinta alam pemikir yang mahu mentafsir kejadian ciptaan Yang Maha Esa.

Kehijauan landskap semula jadinya sudah lama menambat hati pengunjung yang sering menjadikan hutan lipur ini sebagai lokasi riadah bersama rakan atau keluarga pada hujung minggu.Kedinginan airnya membuatkan pengunjung tidak puas mandi, apatah lagi apabila dikelilingi panorama air terjun tujuh tingkat.


Air terjun tujuh tingkat merupakan tarikan utama di sini

Mandi-manda bersama keluarga


Pendakian 45 minit membawa pengunjung ke air terjun ketujuh pada tahap 1,000 meter (m). Namun, penggemar sukan lasak yang sering melakukan aktiviti merentas denai dan mendaki di kawasan hutan lipur ini lebih menggemari air terjun di tingkat empat berikutan ketinggian air terjunnya mencecah 500m.


Papan tanda air terjun tujuh tingkat

Jambatan gantung sepanjang 30m untuk menyeberangi Sungai Tenang.


Dalam usaha Jabatan Perhutanan Terengganu (JPT) untuk mempopularkan kawasan ini pelbagai  prasarana telah dibina untuk kemudahan pengunjung yang hadir.Antaranya ialah lorong pejalan kaki dibina bagi memudahkan pengunjung bersiar-siar di kawasan hutan ini.Pondok rehat pula boleh dijadikan tempat melepaskan penat selepas mendaki atau lokasi berkelah selepas puas berendam dalam kesejukan air sungai.


Kehidupan flora yang terdapat di sini.


Lorong pejalan kaki


Dalam usaha mengindahkan lagi persekitaran hutan lipur ini, JPT menanam pelbagai jenis tumbuhan hiasan sebagai antara daya penarik kepada pengunjung. Ini termasuk lebih 100 jenis pokok hutan yang memiliki nilai komersial tinggi.

Bagi keselesaan pengunjung, pondok maklumat, ruang letak kereta, surau dan taman permainan kanak-kanak turut disediakan.

JPT turut menyediakan tapak perkhemahan dilengkapi kemudahan asas termasuk tandas, bilik persalinan dan tempat barbeku. Justeru, sekolah, agensi kerajaan dan sektor swasta gemar menjadikan hutan berkenaan sebagai lokasi penganjuran hari keluarga dan kem motivasi.Jika tidak mahu berkhemah, pengunjung boleh memilih tinggal di 16 chalet kendalian JPT. HLLT dibuka setiap hari, mulai jam 7 pagi hingga 6 petang.


Hutan Lipur Lata Tembakah,Besut,Terengganu.


Hutan Lipur Lata Tembakah memang akan menjanjikan satu pengalaman yang cukup indah kepada pengunjungnya.Berbagai aktiviti kekeluargaan yang menarik boleh dilakukan di sini seperti perkelahan, mandi manda dan perkhemahan.Bagi anda yang ingin berkunjung ke Terengganu jadikanlah destinasi ini sebagai destinasi yang mesti anda lawati..... Untuk pertanyaan, hubungi Pejabat Hutan Daerah Besut di talian 09-6956148.

Thursday, June 24, 2010

HUTAN LIPUR AIR TERJUN SEKAYU



Hutan Lipur Air Terjun Sekayu yang terletak di dalam daerah hulu terengganu, 16 kilometer dari pekan kuala berang dan 56 kilometer dari bandar kuala terengganu di Hutan Simpan Hulu Terengganu memang menjadi salah satu tarikan utama pelancong yang datang ke negeri Terengganu.Hutan lipur mempunyai keluasan lebih kurang 405 hektar dan merupakan lokasi yang kaya dengan hutan dipterokarp seperti meranti, damar hitam, keruing dan juga lain-lain. Spesies flora dan fauna yang masih terpelihara di sini pastinya akan menggamit kedatangan sesiapa sahaja ke sini.


 Air Terjun Sekayu

Antara keunikan utama hutan lipur ini ialah terdapatnya sebuah air terjun tiga peringkat yang cantik dan mempesonakan.Air sungainya yang jernih, dingin dan menyegarkan dikelilingi oleh keindahan alam semula jadi, sangat sesuai untuk tujuan beristirahat dan berekreasi.Pada hujung minggu dan cuti sekolah, pengunjung dapat menyaksikan ragam manusia berkelah dan mandi-manda di sepanjang kawasan sungai dan air terjun. 

 Suasana di hujung minggu

Di sini juga terdapat banyak infrastruktur dan kemudahan-kemudahan rekreasi yang telah disediakan seperti tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah, jalan dalam hutan (jungle tracking) dan lain-lain lagi.Kawasan perkhemahan yang lengkap dengan tempat memasak, kawasan unggun api, bekalan air dan elektrik telah disediakan sebagai keperluan pengunjung. Sebuah denai hutan disediakan untuk pengunjung-pengunjung melihat kepelbagaian tumbuhan dan hidupan liar.

Aktiviti jalan dalam hutan


Antara kehidupan fauna di sini


PENGINAPAN

Tropical Resort @ Sekayu

Tropical Resort @ Sekayu merupakan salah satu destinasi penginapan yang amat sesuai bagi sesiapa yang inginkan kedamaian dan ketenangan. Bertemankan kicauan burung, bunyi-bunyian cengkerik, deruan aliran air terjun, suasana yang menggamit perasaan ini pastinya akan menjadi kenangan dan pengalaman yang sukar di lupakan oleh pengunjung. Kedudukannya bersebelahan dengan air terjun,tiada lagi kebingitan deruman enjin, kesesakan kota, Tropical Resort @ Sekayu pastinya menjanjikan suasana percutian dan penginapan yang amat diimpikan...

Wednesday, June 23, 2010

FESTIVAL GAMELAN SEDUNIA

Bersempena dengan Festival Gamelan Sedunia yang akan diadakan selama tiga hari bermula dari 23 Julai sehingga 26 Julai depan  di Dataran Syahbandar,Terengganu, telah mengingatkan saya untuk menceritakan kepada anda satu lagi alat muzik tradisi yang masih bergema sehingga kini.



Festival ini merupakan tahun kedua ia diadakan olah Kerajaan negeri Terengganu yang akan disertai oleh kumpulan gamelan dari dalam dan luar negara di Muzium Neger.Festival ini juga akan menjadi medan untuk mengetengahkan muzik tradisional itu ke peringkat antarabangsa.Daripada situ muzik gamelan dari seluruh dunia terutama dari wilayah Nusantara boleh diangkat dan martabatkan supaya setanding dengan muzik-muzik etnik dunia yang lain.

Bersempena festival ini, akan diadakan bengkel alat muzik gamelan Jawa, Melayu dan Bali kepada pemuzik-pemuzik gamelan.Kumpulan ini termasuklah dari Bali dan Pulau Jawa Indonesia, kumpulan gabungan negara Eropah, dan Jepun.

Festival ini adalah antara program yang diadakan bagi menarik pengunjung melawat Muzium Terengganu sepanjang tahun ini.

Muzium Terengganu telah mengatur 10 aktiviti yang dijangka akan menarik lebih 200,000 orang pengunjung sepanjang tahun ini.Antara aktiviti lain yang turut dirancang ialah pertandingan melukis, rampai budaya, Seminar Batu Bersurat, pasar keris, pameran permotoran dan pertandingan permainan tradisional.


.
GAMELAN

Perkataan "gamelan" berasal daripada perkataan Jawa "gamel", bermaksud memukul ataupun tukul.Gamelan adalah himpunan alat muzik yang biasanya menonjolkan metalofon, gambang, gendang, dan gong. Orkes gamelan kebanyakan terdapat di pulau Jawa, Madura, Bali, dan Lombok di Indonesia dalam pelbagai jenis ukuran dan bentuk ensembel. Di Bali dan Lombok hari ini, dan di Jawa lewat abad ke-18, istilah gong lebih dianggap sinonim dengan gamelan.


LATAR BELAKANG

Gamelan di Malaysia mula bertapak di Riau Lingga di Johor dan kemudian ke Pahang dan akhir sekali ke Terengganu menurut tradisi dan ceritanya. Gamelan yang mula berkembang di Pahang dalam tahun 1800 sama seperti yang terdapat di Istana Yam Tuan Muda Riau di Pulau Penyengat. Keadaan demikian berlaku kerana dalam masa yang berkenaan daerah Johor, Pahang dan Terengganu berada di bawah pengaruh Riau Lingga atau Johor Riau.

Sultan Terengganu yang pertama Sultan Zainal Abidin 1 (memerintah dalam tahun 1726 – 1734) ialah keturunan Bendahara Johor Paduka Raja Tun Habib Abdul Majid. Bendahara Johor yang ke 19 mangkat dalam tahun 1696 dan saudaranya yang tua Tun Sulung kemudiannya diangkat menjadi Sultan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah diangkat menjadi Raja dalam pemerintahan Bendahara mulai dari Bendahara Tun Tahir dari Johor hingga kepada Wan Ahmad yang kemudiannya mengangkat dirinya menjadi Sultan Pahang memerintah 1863 – 1914.

Dua dari putera puteri Sultan Ahmad telah berkahwin dengan dua orang Raja dari Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Pada tahun 1972 kerajaan negeri Terengganu telah mengambil berat terhadap perkembangan Gamelan dan berhasrat menjadikan kesenian itu sebagai sebahagian daripada kegiatan kerajaan. Satu kumpulan telah ditubuhkan dengan nama Joget Gamelan Setia Usaha Kerajaan Terengganu (SUKTRA) yang dipengerusikan oleh Dato Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Pada tahun 1980, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengambil Muzik Gamelan sebagi anak angkat untuk mengekalkan kesenian dan tradisi tersebut bagi generasi akan datang. Setiap upacara rasmi seperti Konvokesyen dari lain-lain Muzik Gamelan adalah kesenian utama yang dipersembahkan dalam majlis tersebut. Bagi para pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengikuti kursus Ko-kurikulum Muzik Gamelan salah satu kursus yang perlu di ikuti.

ALAT MUZIK

Gendang


Gambang


Gong


Metalafon


Gong Chime


Dendangan Gamelan sememangnya sangat sedap untuk didengar dan dihayati.Bagi penggemar muzik tradisional inilah satu-satunya peluang keemasan anda untuk menyaksikan sendiri kepelbagaian muzik ini yang masih dipelihara dari seluruh negara.Oleh itu, jangan lepaskan peluang, marilah kita sama-sama ke sana!....

Sunday, June 20, 2010

SELAMAT HARI BAPA


HARI BAPA adalah hari untuk kita mengenang kembali jasa dan pengorbanan seorang insan yang dipanggil ayah, yang disebut abah, yang saban waktu diingat-ingat sebagai seorang papa. Tak kisah apa pun gelaran bagi mereka, namun ayah, bapa, papa, abah, daddy dan sebagainya punya nilai yang mesti kita hargai, kita sanjungi dan kita ingati.

Pada hari ini iaitu pada tanggal 20 jun 2010, sekali lagi kita berpeluang menyambut hari yang cukup bermakna ini terutamanya kepada seseorang yang telah digelar "bapa".Jasa dan pengorbanan seorang bapa sangat besar terhadap anak-anak.Menyediakan berbagai keperluan, makanan, pakaian serta pendidikan sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya pengorbanan seorang bapa.

Hari bapa merupakan peluang yang amat sesuai untuk anak-anak menunjukkan penghargaan serta sanjungan mereka terhadap seorang bapa yang telah banyak berkorban.Sudah menjadi kebiasaan pada hari ini anak-anak akan mengucapkan selamat hari bapa dan kemudiannya memberikan hadiah yang cukup bermakna kepada bapa mereka.Bagi seorang bapa walaupun hadiah yang diberikan tidaklah seberapa harganya namun itu sudah mencukupi bagi mereka, kerana bagi golongan ini kasih sayang serta perhatian yang ditunjukkan anak-anak yang mereka mahukan.

FOTO UCAPAN

FOTO 1

FOTO 2

FOTO 3

FOTO 4


Bagi mereka  yang masih punyai bapa, maka hargailah keberadaan mereka bersama anda. Yang telah tiada, maka doakanlah untuk kesejahteraan mereka di sana.

Amalan hormat menghormati pada yang tua, sayang menyayangi dengan yang muda seharusnya dijadikan budaya harian, adat warisan.Sayang yang tua, kasihkan yang muda. Sayang pada ayah, kasihkan pada anak-anak. Itu yang diharapkan.
Selamat Hari Bapa!

PASUKAN SANG PENYU

Gol!Gol!Gol! Inilah sorakan yang sering kita dengar dalam musim bola sepak ini.Kehangatannya membuatkan saya ingin bercerita mengenai bola sepak juga.Adakah anda pernah mendengar pasukan bola sepak yang digelar Sang Penyu?Hari ini saya akan bercerita mengenai pasukan elit ini...




Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), juga dikenali dengan gelaran Sang Penyu (The Turtles) telah ditubuhkan pada tahun 1972.Lokasi Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium & Sultan Ismail Nasiruddin Shah Stadium,Kuala Terengganu (Kapasiti 50,000, 15,000).Pasukan ini tersenarai dalam kelompok elit Liga Malaysia iaitu Liga Super Malaysia dan Liga Malaysia.

Pengerusi     -Dato' Haji Che Mat Juso
Pengurus      -Haji Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof
Jurulatih      -Irfan Bakti Abu Salim



Terengganu menentang selangor


PENCAPAIAN

Pertandingan                                                  Juara                        Naib Juara
Piala Malaysia                                                   2001 (1x)                   1973, 1998 (2x)
Divisyen 1/Perdana 1/Liga Perdana          1990, 1998 (2x)       1992, 2001 (2x)
Piala FA Malaysia                                             2000 (1x)                  1999, 2004 (2x)
Piala Sumbangsih                                             2001 (1x)                   2002 (1x)



KETUA JURULATIH

 Abdul Rahman Ibrahim
 Mat Zan Mat Aris
 Abdullah Mohammad
 Ahmad Yunus Mohd Alif
 Tajuddin Nor
 Marco Bilic-Croatia
 Mohammad Nik
 Ken Worden-Australia
 Irfan Bakti Abu Salim -sekarang


Barisan sebelasan utama


BARISAN PEMAIN

1 GK Mohd Zairee Hafizie Idris
3 DF Mohd Muhaimin Omar
4 DF Mohd Hassan Basri Ridzuan
5 DF Shahrizam Mohamed
7 MF Zairo Anuar Zailani
8 FW Abdul Manaf Mamat
9 FW Wan Mohd Aliff Wan Jasni
12 MF Joseph Kalang Tie
14 DF Che Ku Ahmad Rusydi Amir Che Ku Azam
15 MF Tengku Hazman Raja Hassan
17 DF Mohd Marzuki Yusof
18 MF Ahmad Nordin Alias
22 MF Mohd Ashaari Shamsuddin
25 GK Mohd Sharbinee Allawee Ramli
29 DF Mohd Hariri Mohd Safii
30 GK Mohd Sharmiza Yusoff
     MF Tengku Hasbullah Raja Hassan
     FW Mohd Firdaus Mohd Faudzi
     MF K. Rajan
     DF Mohd Helmi Remeli
     DF Ronny Harun
     MF Mohd Zharif Hasna


Pasukan Sang Penyu merupakan antara pasukan handalan kerana pernah menjuarai Liga Malaysia dan beberapa pertandingan yang lain.Dalam usaha untuk mencapai sesuatu kejayaan sokongan daripada peminat amatlah diperlukan bagi meningkatkan keyakinan moral pemain.Oleh itu, penyokong-penyokong Sang Penyu haruslah memberikan sokongan padu kepada pemain mereka di setiap perlawanan.Diharap dengan sokongan ini dapat meningkatkan lagi pencapaian cemerlang pasukan Sang penyu samaada untuk negeri Terengganu mahupun mewakili negara Malaysia ke peringkat Antarabangsa..

Wednesday, June 16, 2010

SEDAPNYA SATA TERENGGANU




Aduhai sedapnya.....itu jawapan yang akan diberikan oleh penggemar makanan tradisional negeri Terengganu apabila ditanya kepada mereka tentang kelazatan Sata Terengganu.Sata merupakan salah satu kuih-muih tradisional dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia banyak terdapat di Terengganu, Kelantan dan Pahang (sekitar sempadan Pahang-Terengganu).

Perkataan sata bermaksud lurus. Mungkin kerana sata ini dimasak dengan cara dicucuk pada belahan buluh lurus dan dipanggang (seperti sate), ia dipanggil sedemikian. Harganya agak murah dan cara penyediaan adalah ringkas. Apa yang merumitkan ialah semasa proses memanggangnya. Jika tidak pandai, sata mungkin akan hangit di bahagian luar, tetapi mentah di bahagian dalam. Penyediaan ramuan sata juga melibatkan kelapa. Jadi, jika sata tidak disediakan dengan bersih, ia boleh menjadi basi dalam tempoh masa yang singkat.

Jika dilihat dari segi cara membuatnya, ia juga hampir menyerupai otak-otak.Namun,terdapat perbezaan antara kedua-dua makanan ini.Perbezaannya terletak pada bentuk, rupa, warna dan cara bugkusannya. Berbanding otak-otak yang yang diletakkan dalam lapisan daun kelapa dan diklip di bahagian hujung kedua-dua belahnya, sata pula dibungkus di dalam daun pisang dan dilipat bagaikan kuih koci. (seperti bungkusan nasi lemak daun pisang, tetapi saiznya lebih kecil). 
 

Jika anda berpeluang melawat ke bahagian timur semenanjung ini, lengkapkan lawatan anda dengan pergi ke pasar malam dan merasa hidangan ini. Kebiasaannya, di kawasan pasar malam, anda boleh mendapatkan sata daripada gerai yang turut menjual otak-otak. Salah satu pasar malam di Terengganu yang menjual menu unik ini ialah Pasar Malam Pengadang Baru, yang terletak di Jalan Kuala Berang, beberapa kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Sekiranya dari Kuala Terengganu, anda turun ke Ajil untuk menikmati buah-buahan tempatan, anda akan lalu di sini.




RESEPI SATA

  1. Ikan kembung(ikan selayang boleh, ikan mata uji rashid pun boleh,ikan tamban pun boleh)
  2. Gula secukup rasa
  3. Garam secukup rasa
  4. Kelapa muda dalam setengah biji
  5. Lada hitam ditumbuk halus
  6. Cili padi ditumbuk halus..kalau suka cincang pun boleh..
  7. Lada merah/cili kering ditumbuk
  8. Bawang besar dalam 4 biji di tumbuk atau dicincang pun boleh.
  9. Daun kadok dicincang halus atau daun kesum pun boleh.


CARA-CARANYA

  1. Kisar atau tumbuk isi ikan tersebut sehingga lumat.
  2. Kemudian gaul kesemua bahan-bahan diatas bersama isi ikan sehingga menjadi sebati.
  3. Masukkan bahan-bahan yang telah sebati itu tadi ke dalam kelongsong daun pisang yang telah dilayur oleh api
  4. Sata yang telah dimuatkan di dalam kelongsongnya akan dicucuk pada belahan buluh lurus sebanyak 5 atau 6 biji kelongsong setiap satu (bergantung kepada kehendak).
  5. Akhir sekali, sata akan dipanggang atau dibakar di atas bara arang sehinggalah masak.
Sata boleh dimakan begitu sahaja, ataupun boleh dimakan bersama-sama dengan  nasi...Selamat menjamu selera...Bye2

Sunday, June 13, 2010

PETUA KESELAMATAN JALAN RAYA

Di Malaysia, kemalangan jalan raya merupakan penyumbang terbesar terhadap peningkatan kadar kematian.Setiap hari ada sahaja berita-berita mengenai kemalangan jalan raya terpampang di dada-dada akhbar.Kecederan parah seperti patah kaki dan tangan, putus jari serta buta selamanya mungkin menakutkan kita  mendengarnya.Pada hakikatnya perkara ini sememangnya terjadi, malah lebih menyedihkan lagi apabila ada nyawa yang terkorban.

Dalam usaha untuk mengelakkan berlaku kemalangan jalan raya, saya ada menyelitkan beberapa petua yang harus anda amalkan di sepanjang perjalanan untuk keselamatan bersama.



Petua Keselamatan Jalan Raya

Sebagai pengguna jalanraya, khasnya pemandu-pemandu, anda mestilah:-

  1. Rancang perjalanan anda terlebih dahulu. Jika anda letih, mengantuk, mabuk atau tidak fokus, tangguhkan perjalanan anda.
  2. Pastikan kenderaan dalam keadaan yang baik.Membuat pemeriksaan kenderaan sebelum bertolak.
  3. Membaca doa perjalanan agar mendapat keselamatan bagi yang muslim.
  4. Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.
  5. Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong. Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.
  6. Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki.
  7. Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.
  8. Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong. Jangan memotong jika teragak-agak.
  9. Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Ia bukan sahaja biadap tetapi membahayakan semua pengguna.
  10. Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.                                                                                                                                     


Melancong merupakan perkara yang amat menyeronokkan, samada dalam atau luar negara,bersama keluarga tercinta ataupun bersama rakan-rakan.Namun, dalam keseronokan ini janganlah kita alpa dan leka terhadap suatu perkara yang mampu menukar percutian ini menjadi peristiwa hitam, iaitu kemalangan jalan raya.Dalam hal ini, kita seharusnya lebih berhati-hati dan mengutamakan pemanduan berhemah di sepanjang pemanduan untuk sampai ke satu-satu destinasi.

Oleh itu saya berharap anda semua dapat mengamalkan petua di atas agar keselamatan diri dan orang tersayang dapat diselamatkan.Saya juga mendoakan semoga anda sekeluarga sentiasa mengutamakan keselamatan dan dilindungi Allah swt serta percutian anda menjadi satu percutian yang menyeronokkan...Apa-apapun "Pandu cermat jiwa selamat" serta "Biar lambat asal selamat"....

Friday, June 11, 2010

KEPELBAGAIAN KEHIDUPAN DI BUKIT TAKAL


Dengan keluasan kawasan 35 ekar,Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman di Bukit Takal, Terengganu adalah hasil gabungan taman buah-buahan, taman herba semula jadi, taman tumbuhan tropikal, taman orkid, taman bonsai dan habitat semula jadi kunang-kunang terbesar di Terengganu. Zoo ini juga merupakan zoo pertama di negeri Terengganu dan zoo terbesar di Pantai Timur,Semenanjung Malaysia.

Terletak kira-kira 14 kilometer dari Bandar Cukai, zoo ini menawarkan pelbagai tarikan dan pengalaman menyeronokkan pada hujung minggu.

Bukit Takal, Kemaman dipilih kerana kawasan ini sedia ada kebun buah-buahan tempatan seperti duku, manggis, sentul, mangga, tampoi dan tanaman kopi, yang akan menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung.

Konsep terbuka Zoo Bukit Takal yang mengambil kira zoologi setiap binatang akan memberi keselesaan kepada pengunjung melihat binatang liar yang dipamerkan dalam keadaan semula jadi tetapi selamat.

Antara tarikan utama destinasi tersebut termasuklah taman tema air, jambatan gantung, akuarium, melihat kunang-kunang di Sungai Yak Yah dan pelbagai jenis burung.

Binatang-binatang lain yang turut dipamerkan termasuk beberapa spesis beruang, banteng, seladang, kijang, kambing gurun, orang utan, buaya dan beberapa spesis harimau serta kuang raya.

Tidak ketinggalan, pengalaman menunggang gajah dan menaiki trem mengelilingi kawasan zoo turut disediakan di sini.

Untuk kemudahan orang ramai yang tidak mempunyai kenderaan atau mempunyai bilangan ahli keluarga yang besar, dua buah bas disediakan di destinasi terpilih untuk membawa mereka ke zoo.Destinasi persinggahan bas tersebut termasuklah Stesen Bas Cukai, KCP Jalan Lebai Saras dan Awana Kijal.

GALERI

HARIMAU


ANAK GAJAH


ORANGUTAN


BURUNG NURI




PERJALANAN KE SANA

Peta perjalanan


Untuk ke sana, bagi mereka yang tinggal di Cukai mungkin tidak mempunyai sebarang masalah.

Bagi mereka dari luar, kalau dari utara [melalui jalan pantai - Jalan Persekutuan Laluan 3] boleh belok ke kanan [Laluan T6] di persimpangan lampu isyarat selepas pekan Titian Berayung, Kijal. Terdapat papantanda besar di tepi jalan. Terus dengan Laluan T6 melepasi Kg. Bukit Anak Dara dan Kampung Jong Berlabuh hingga ke persimpangan Laluan T13, belok kanan. Di Laluan T13, selepas ‘pekan’ Kg. Ibok terus ke Laluan T131.

Dari sini, anda tidak akan terlepas zoo tersebut yang terletak kira-kira 5km dari kawasan kelip-kelip Sungai Yak-Yah – satu lagi tempat menarik di Kemaman.

Kalau dari selatan, apabila memasuki bandar Cukai, anda akan belok ke kiri ke Jalan Air Putih [Laluan T8] di persimpangan “digital” [itu yang dipanggil oleh orang Kemamang - yang mempunyai jangkamasa digital lampu hijau/merah]. Kira-kira 2km terdapat persimpangan lampu isyarat ke kanan [Laluan T131] untuk ke Kg. Mak Chili dan Kg Ibok.


INFOMASI

 PENGUNJUNG BOLEH MELIHAT DARI JARAK DEKAT


Taman Rekreasi & Mini Zoo Kemaman dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang

Harga Tiket Di Kaunter Masuk Utama:

RM 5           (DEWASA)
RM 3           (KANAK-KANAK 5 - 13 THN)
RM 2           (KANAK-KANAK (UNIFORM SEKOLAH))
PERCUMA (KANAK-KANAK BWH 5 THN)


Harga Tiket Di Kaunter Gajah:

RM 20         (DEWASA)
RM 10         (KANAK-KANAK)


Harga Tiket Di Kaunter Kolam:

RM 5           (KANAK-KANAK 6 THN KE ATAS)
RM 3           (KANAK-KANAK 6 THN KE BWH)


Zoo Bukit Takal


Lawatan ke Zoo Bukit Takal menjamin satu pengalaman yang sangat berharga kepada pengunjung.Panorama taman serta kepelbagaian kehidupan haiwan serta tumbuhan di sini sudah pasti membuatkan pengunjung berasa ingin datang melawat lagi.Oleh itu, marilah kita sama-sama membawa keluarga berkunjung untuk merasai dan berkongsi kegembiraan dan kenangan bersama...Bye2.


Thursday, June 10, 2010

KEINDAHAN SAMUDERA DI PULAU KAPAS



Pernahkah anda melancong ke Pulau Kapas? Adakah anda tahu bagaimana hendak ke sana dan di mana terletaknya pulau yang indah ini? Di sini saya akan menceritakan kepada anda segala-galanya tentang pulau ini. Oleh itu "jom kita terokai". 

Terengganu,Pulau Kapas terletak di Laut China Selatan, kira-kira 6 kilometer atau 20 minit dari jeti Marang. Namanya berasal daripada pokok kapas yang bunganya boleh dijadikan kain atau kapas. Warna kapas ini berwarna putih.

Bunga kapas


Pantai Pulau Kapas yang putih bersih dan amat mengkagumkan bagi para pengunjung. Pulau Kapas juga merupakan lokasi skuba pilihan utama para penyelam dalam atau luar negara jika berkunjung ke negeri Terengganu.Pulau ini juga terkenal disebabkan mempunyai tapak menyelam yang sangat indah dan menjadi antara tapak yang terindak di dunia.


Keistimewaan


 Pulau Kapas masih mengekalkan keindahan samudera dengan hidupan laut yang cantik dan asyik.


  Terdapat beberapa bot karam yang telah tenggelam, sesuai untuk penggemar selam skuba.





Pulau Gimia yang terletak berhampiran Pulau Kapas menyediakan panorama yang unik.

Penginapan

 

 
Duti Puri Island Resort

 Jika anda ingin bermalam atau bercuti lama di Pulau Kapas pastikan  anda memilih Duti Puri Island Resort sebagai lokasi penginapan.Resort ini antara resort yang sangat popular di sini, serta menyedikan berbagai kemudahan yang lengkap dan sangat selesa.


Cara ke sana

  

Untuk ke sini anda boleh melalui jeti di bandar Marang, Terengganu di samping dapat menghidup udara segar di sini.Tunggu apa lagi  "jom bercuti ke sana"....

      Tuesday, June 8, 2010

      SUASANA MALAM DI DATARAN SHAHBANDAR

      Baru-baru ini pada tanggal 6 Jun 2010 satu lagi tarikan baru telah siap dibina di Terengganu. Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu menjadi satu-satunya tempat terdapat sebuah skrin layar besar untuk siaran program-program berbentuk kekeluargaan dan kemasyarakatan.Selain itu, pembinaan yang telah memakan belanja sebanyak RM800,00 ini juga mampu menghidupkan suasana malam di sini.


       Suasan malam di Dataran Shahbandar

      Pembinaan skrin layar ini merupakan salah satu alternatif memastikan peningkatan dan pembangunan ekonomi negeri selain bagi membendung masalah mat rempit yang semakin berleluasa.

      Skrin layar akan mula beroperasi dengan penyiaran perlawanan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 11 Jun ini.Kerajaan negeri turut memaparkan siaran Astro untuk tontonan umum.

      Skrin besar dibina untuk mencipta keindahan kawasan di Shahbandar dan orang ramai boleh membawa keluarga untuk meluangkan masa di sini.

      Konsep baru itu dilihat mampu menarik pelancong dan penduduk di kawasan berdekatan merasai keindahan malam di bandar raya ini.

      Pembinaan skrin layar sememangnya satu idea yang sangat kreatif kerana dengan kewujudannya mampu memberi banyak kebaikan kepada kita, khasnya kepada orang-orang Terengganu.Oleh itu, tunggu ape lagi marilah sama-sama berkunjung bagi memeriahkan suasana...Selamat berhibur..

      TEROKAI TAMAN TAMADUN ISLAM


      Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman yang dikenali sebagai Taman Tamadun Islam ini mempunyai keluasan seluas 23 hektar.Taman Tamadun Islam merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.

      Taman ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.

      Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama di dunia yang mengiktiraf senibina Islam dan mempamerkan keagungan kesenian kebudayaan Islam. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.

      Projek pembinaan ini telah melibatkan 34 kontraktor tempatan sementara Perbadanan  Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bertanggungjawab memantau projek tersebut. Bahan asas pembinaan secara keseluruhannya menggunakan bahan buatan tempatan. Kira-kira 65% pembinaan menggunakan kepakaran tukang tempatan manakala selebihnya menggunakan khidmat profesional pakar pertukangan daripada luar negara.

      Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

      Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.

      Masjid Kristal

      Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu.Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008. 


      FOTO REPLIKA

      1. Masjid Negara(Malaysia)


      2.Taj Mahal (India)

      3.Al-Hambra Citadel (Spain) 

       4.Masjid Kul Syarif (Russia)


       5.Dome of the Rock (Palestin)


      6. Masjid Mohd Ali (Kaherah)


      7. Mimbar Kalyan (Uzbekistan)



      PENGANGKUTAN

      Teksi, Pengangkutan Awam
      Perkhidmatan bas dari bandaraya ke taman disediakan di sini . Selain itu, terdapat pengangkutan teksi dari pusat bandar ke taman tersebut.

      Bot penambang 
      Bagi menikmati keindahan dan kesegaran udara laut, pelawat boleh menggunakan bot penambang dari jeti Shahbandar ke jeti Tok Ku Paloh, yang terdapat di taman ini.