Monday, April 26, 2010

RANTAU ABANG LOKASI SPESIS PENYU



Rantau Abang merupakan salah satu destinasi perlancongan yang menarik di negeri Terengganu, ia terletak kira-kira 60km ke selatan bandar Kuala Terengganu. Di sini, pelawat boleh menunggu dari tengah malam hingga ke subuh bagi melihat penyu belimbing yang besar naik ke darat untuk bertelur. Penyu-penyu ini merangkak perlahan-lahan di pasir putih untuk bertelur, meninggalkan gambaran yang tidak mungkin dapat dilupakan pelawat.



Penyu raksasa ini boleh membesar sehingga 2.5m panjang dan kadangkala seberat lebih dari 375kg. Rantau Abang ialah salah satu dari enam lokasi di dunia yang dikunjungi oleh penyu-penyu ini dari bulan Mei hingga September.



Penyu dan telur penyu ini adalah dilindungi. Telur penyu dikesan dan dialihkan oleh ahli sains ke pusat inkubator di mana persekitarannya akan dikawal bagi menentukan jantina penyu yang menetas sebagai usaha agar spesis ini terus wujud.




Dalam usaha untuk memelihara spesis ini, pihak kerajaan negeri Terengganu telah membina sebuah Pusat Penerangan Penyu.Pusat ini terletak di Rantau Abang.Di sini pelawat akan diberi penerangan tentang spesis penyu secara terperinci oleh pegawai yang bertugas.



Kewujudan batu berbentuk penyu di sini juga menjadi salah satu tarikan utama pelancong. Ia adalah susunan beberapa ketul batu yang tak ubah seperti penyu sedang bertelur.“Dulu, batu yang dipanggil Batu Penyu ini amat popular di kalangan pelancong. Mengikut cerita orang tua-tua, batu itu terjadi kerana seekor penyu gagal kembali ke laut kerana mengambil masa terlalu lama untuk bertelur. Mengikut kata orang di tempatan, kewujudan batu itu membuatkan banyak penyu lain menuju ke Rantau Abang untuk bertelur.



Rantau Abang merupakan satu destinasi perlancongan yang amat menarik.Di sini, kita bukan sahaja dapat menikmati pemandangan yang indah serta menghidup udara yang segar, namun kita juga dapat melihat suatu spesis yang amat unik dan di Malaysia ia hanya terdapat di sini iaitu spesis penyu.Oleh itu, marilah bersama-sama kita menjadikan destinasi ini sebagai salah satu destinasi impian untuk diterokai.