Tuesday, April 27, 2010

KEROPOK MAKANAN TRADISIONAL NEGERI TERENGGANU



Keropok lekor atau kerepok batang merupakan sejenis makanan tradisional pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya di Terengganu yang terkenal. Keropok diperbuat daripada isi ikan laut dan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan tepong kanji. Keseluruhan ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang bertali, sebelum direbus didalam air panas.

Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semulajadi.Keropok lekor boleh dimakan segar sabaik sahaja diangkat dengan dicicah air lada (sos cili) yang pedas. Pada masa ini, pembuatan keropok lekor telah pun tersohor kebeberapa negeri lain.



Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Bagaimanapun, sekiranya hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan ditempat air batu bagi mengelakkan baunya mencemar makanan lain. Apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampurkan sedikit garam, sekiranya tidak keropok berasa tawar.

Selain daripada dimakan segar, keropok lekor juga boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi bagi menghasilkan keropok yang lebih rangup. Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji biasanya lebih rangup apabila digoreng, tetapi akan bertukar menjadi liat apabila sudah sejuk. Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat walaupun ia sudah sejuk selepas digoreng.



Keropok lekor juga boleh diproses dengan lebih lanjut untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor yang telah direbus akan dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan keropok kering yang dikenali sebagai keropok keping. Keropok keping ini akan menjadi kembang apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia amat sedap apabila dimakan dengan sos cili.