Friday, April 30, 2010

MASJID KRISTAL SIMBOL KETAMADUNAN ISLAM



Masjid Kristal merupakan antara salah satu tarikan utama negeri Terengganu. Masjid ini terletak dalam kawasan pelancongan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Terengganu.



Masjid Kristal telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama-sama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah telah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Kristal di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada 8 Februari 2008 jam 6.00 petang.






Masjid ini telah dibina daripada kaca dan keluli, ia juga merupakan masjid pintar pertama di Malaysia dan mempunyai keluasan 2,146 meter persegi. Projek pembinaan ini telah melibatkan 34 kontraktor tempatan sementara Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu bertanggungjawab memantaunya. Bahan asas adalah bahan tempatan dan kira-kira 65% adalah pakar tempatan dan selebihnya adalah pakar pertukangan luar Negara



Masjid ini boleh memuatkan 700 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan prasarana teknologi maklumat dan liputan WiFi yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan akses internet bagi membaca Al Quran elektronik.



Oleh itu, apabila berkunjung ke negeri Terengganu, khasnya kepada mereka yang bermusafir pastikan destinasi Pulau Wan Man menjadi destinasi persinggahan kita yang utama untuk singgah menunaikan solat kerana di sini terdapat sebuah masjid iaitu Masjid Kristal yang amat unik pembinaannya untuk kita lawati.