Tuesday, June 8, 2010

TEROKAI TAMAN TAMADUN ISLAM


Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman yang dikenali sebagai Taman Tamadun Islam ini mempunyai keluasan seluas 23 hektar.Taman Tamadun Islam merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.

Taman ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.

Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama di dunia yang mengiktiraf senibina Islam dan mempamerkan keagungan kesenian kebudayaan Islam. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.

Projek pembinaan ini telah melibatkan 34 kontraktor tempatan sementara Perbadanan  Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bertanggungjawab memantau projek tersebut. Bahan asas pembinaan secara keseluruhannya menggunakan bahan buatan tempatan. Kira-kira 65% pembinaan menggunakan kepakaran tukang tempatan manakala selebihnya menggunakan khidmat profesional pakar pertukangan daripada luar negara.

Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.

Masjid Kristal

Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu.Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008. 


FOTO REPLIKA

1. Masjid Negara(Malaysia)


2.Taj Mahal (India)

3.Al-Hambra Citadel (Spain) 

 4.Masjid Kul Syarif (Russia)


 5.Dome of the Rock (Palestin)


6. Masjid Mohd Ali (Kaherah)


7. Mimbar Kalyan (Uzbekistan)



PENGANGKUTAN

Teksi, Pengangkutan Awam
Perkhidmatan bas dari bandaraya ke taman disediakan di sini . Selain itu, terdapat pengangkutan teksi dari pusat bandar ke taman tersebut.

Bot penambang 
Bagi menikmati keindahan dan kesegaran udara laut, pelawat boleh menggunakan bot penambang dari jeti Shahbandar ke jeti Tok Ku Paloh, yang terdapat di taman ini.