Monday, April 26, 2010

KISAH DONGENG PENYU DAN ANGSA

Di sebuah pulau, seekor penyu berkawan baik dengan dua ekor angsa. Pada suatu ketika, pulau tersebut telah tercemar akibat sikap tidak bertanggungjawab manusia yang mencemarkan kebersihan pulau tersebut.Banyak ikan mati serta terumbu karang yang menjadi tempat penyu mencari makan dan bermain telah musnah.

Angsa mengajak penyu berpindah tetapi penyu berasa susah hati kerana dia tidak boleh terbang.

Angsa mencadangkan kepada penyu supaya mengigit sebatang kayu dan angsa akan membawa penyu dengan kayu tersebut. Angsa juga berpesan supaya penyu tidak boleh sama sekali membuka mulutnya.

Penyu berjanji akan patuh kepada permintaan angsa dan apabila mereka bersedia, angsa pun menerbangkan penyu merentasi hutan, merentasi sungai sehinggalah mereka tiba di sebuah pulau yang sangat indah.

Penyu merasa megah apabila terdengar suara budak-budak riuh rendah bersorak kehairanan.

“Penyu boleh terbang? Tengok tu…penyu boleh terbang! Penyu boleh terbang….!

Kerana terlalu gembira, penyu terlupa pesanan angsa lalu membuka mulutnya ingin memberitahu sememangnya dia boleh terbang.

Tiba-tiba penyu tersedar dirinya tidak lagi tergantung pada kayu yang dibawa oleh angsa.

Setelah melayang-layang di udara, dia jatuh terhempas di bumi. Cengkerangnya retak dan kakinya cedera. Sejak peristiwa itulah kulit penyu kelihatan retak di sana sini..


Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata tiada kena-mengena di antara yang hidup mahupun yang telah mati...Semoga anda terhibur...