Sunday, June 6, 2010

KENALI PENYU

Hari ini saya akan bercerita mengenai Penyu.Jangka hayat hidup, makanan, tempat bermain, faktor kepupusan penyu, serta banyak lagi telah saya selitkan di sini.Untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi, jom ikut saya!


Penyu merupakan hidupan yang kian pupus dan haruslah dipelihara dan dihargai. Jangka hayat seekor penyu adalah lebih kurang 60 tahun dan tergolong dalam spesies amfibia.Di Malaysia terdapat tiga jenis penyu, iaitu penyu Leatherback, Green, dan Hawksbill.Di Terengganu, penyu lebih dikenali oleh masyarakat dengan nama penyu Belimbing.Rantau Abang terkenal sebagai kawasan pilihan penyu belimbing untuk mendarat, bila tiba musim bertelur.


Penyu naik ke daratan bila tiba musim bertelur

Penyu lebih banyak menghabiskan masa di dalam air berbanding di darat walaupun penyu adalah haiwan yang bernafas dengan paru-paru. Jantina penyu boleh dilihat melalui panjang ekornya. Ekor penyu yang panjang ialah jantan manakala ekor yang pendek ialah betina. Selain itu, saiz cengkerang juga dapat menentukan jantina penyu kerana cengkerang yang lebih besar ialah jantan dan cengkerang yang kecil ialah betina. Namun demikian, pada peringkat awal, iaitu selepas telur penyu menetas, jantina penyu sukar dikenal pasti kerana tiada ciri-ciri anak penyu yang boleh membezakan jantinanya.


Telur penyu

Lazimnya, penyu akan datang ke daratan berpasir pada waktu malam untuk bertelur. Di negara kita, Malaysia terdapat banyak pulau yang telah dijadikan sebagai pusat penjagaan telur penyu. Tapak yang sesuai akan disesuaikan utnuk menyimpan telur-telur penyu bagi memastikan telur-telur ini tidak diambil oleh manusia atau dimakan oleh pemangsa.Tabiat memakan telur penyu ini adalah faktor utama kepupusan dan telah memburukkan lagi keadaan.


Anak penyu yang baru menetas

Menurut kajian, hanya 1% sahaja anak penyu yang dilepaskan ke lautan dapat meneruskan kelangsungan hidupnya. Peluang untuk anak penyu yang dilepaskan untuk terus hidup bergantung kepada keupayaan anak penyu untuk berenang selaju mungkin untuk sampai ke kawasan laut dalam supaya dapat melarikan diri daripada pemangsa seperti ikan jerung.


Terumbu karang merupakan tempat penyu mencari makanan

Sumber makanan penyu ialah lumut dan obor-obor, dan ini menjadikan kawasan terumbu karang sebagai tempat paling sesuai untuk penyu berlindung dan bermain serta mencari makanan sepanjang tempoh penyu membesar dan berada di laut. Satu ketika semasa tempoh pembesaran penyu adalah dikenali sebagai ‘lost years’ kerana dalam tempoh ini apa yang terjadi kepada penyu adalah tidak diketahui. Sepanjang tempoh penyu membesar, terdapat banyak ancaman terhadap penyu, sama ada daripada hidupan akuatik yang lain mahupun daripada kegiatan manusia dan ini mendorong penyu kepada kepupusan.

Di sebalik ancaman terhadap penyu, terdapat pelbagai cara untuk kita menyelamatkan penyu agar tidak terus pupus ditelan oleh arus pembangunan dan sikap rakus manusia. Oleh itu, pihak kerajaan sendiri hendaklah menguatkuasakan undang-undang serta mengenakan hukuman dan denda yang setimpal terhadap orang yang mengambil telur penyu secara haram di samping bersama-sama menjaga laut yang menjadi habitat penyu daripada sebarang pencemaran.


Anak-anak penyu bertempiaran ke laut setelah menetas

Mewartakan kawasan penyu bertelur dan membiak sebagai kawasan lindungan juga merupakan salah satu jalan yang efektif bagi memelihara spesies yang unik ini. Apapun langkah yang diambil dan dikuatkuasakan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tidak akan membawa kesan sekiranya masyarakat tidak memberikan kerjasama.Oleh itu, sebagai masyarakat yang penyayang haruslah kita bersama-sama berganding bahu bagi menjaga dan menghargai penyu di negara kita agar spesis ini akan kekal wujud untuk tatapan generasi anak-anak kita kelak...Cayo2!!!