Friday, May 7, 2010

MENGHAYATI MUZIK TRADISI- RODAT



Rodat merupakan hiburan tradisi yang mempunyai fungsi sosial berhubung dengan pengisian kehidupan bermasyarakat. Pantun dan sajak yang dinyanyikan dalam persembahan rodat mempunyai peranan dan pengaruh yang agak signikan. Dalam konteks ini, pantun dikonsepsikan sebagai satu bentuk nasihat, adat, berbudi bahasa, jenaka, kasih sayang yang disampaikan dalam bahasa yang berirama serta indah dan mengasyikkan. Seni persembahan tradisional ini adalah satu bentuk persembahan kesenian yang popular di kalangan masyarakat di Terengganu. Rodat biasanya dipersembahkan di dalam majlis-majlis perkahwinan, kenduri-kendara, berkhatan, musim menuai, hari Keputraan Sultan dan di pesta-pesta kebudayaan. Seni persembahan tradisional ini dipersembahkan dalam bentuk tarian, nyanyian serta paluan alat muzik yang dipanggil rebana tar atau tar rodat.

ASAL USUL

menurut satu catatan di dalam Buletin Warisan (Mac 1979), Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu ada menyebut bahawa persembahan tradisional ini berasal dari pedagang-pedagang Sambas dan Pontianak yang telah datang ke Terengganu di awal abad ke 19. Alunan lagu (rodat) serta suara lunak bersama-sama tepukan alat muzik tersebut, telah menarik penduduk tempatan (Terengganu) untuk mempelajari persembahan ini sehingga ianya menjadi sebati dan tersohor serta telah berkembang dalam masyarakat Terengganu khususnya.

Sesetengah pendapat ada menyatakan bahawa seni persembahan rodat ini berasal dari Tanah Arab. Apa yang lebih menarik untuk diperkatakan tentang seni tradisional rodat ini adalah keunikan dari segi persembahan dan mesej yang ingin disampaikan serta diperkuatkan lagi dengan seni yang berunsurkan Islam serta sangat dihormati kerana merakamkan pujian kepada Tuhan dan sejarah hidup para Rasul.

PERSEMBAHAN

Kebiasannya, persembahan rodat dimulakan dengan kumpulan pengadi bersama pelenggok akan menyampaikan sebuah lagu pembuka pentas. Lagu yang sering digunakan ialah lagu selawat yang dipersembahkan dalam posisi duduk selama kira-kira lima belas minit. Setelah lagu pembukaan pentas dinyanyikan, lazimnya ketua pengadi akan memulakan persembahan dengan Bismillahi Muala Nab Tadaina iaitu sebuah bentuk zikir selepas lagu selawat dinyanyikan. Kemudian para pengadi akan mengulangi fasa ini sambil disahut oleh pelenggok. Begitulah seterusnya di mana lagu-lagu berbentuk puji-pujian kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh pelenggok sambil sesekali disahut oleh pengadi dengan iringan paluan rebana tar.

TARIAN

Pergerakan tarian dalam seni persembahan rodat pada umumnya merangkumi beberapa peringkat atau fasa berasaskan dua pergerakan utama iaitu bergerak maju ke hadapan dan undur ke belakang dengan membawa pergerakan tangan, kaki dan badan Tetapi tiap-tiap satu peringkat bermula serta berakhir dengan pergerakan duduk atau berlutut.


LAGU RODAT

Persembahan seni rodat dikatakan mempunyai 50 hingga 60 jenis lagu, namun pada suatu ketika dahulu antara lagu yang masih popular dimainkan sehingga kini yang terkandung di dalam kitab hadrah adalah seperti berikut :

-Ya Hayyum Ya Qayyum(Nama-nama Tuhan yang menghidupkan)

- Allah La illa ha illallah(Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah)

- La illa ha illa Ya Karim(Tidak ada Tuhan melainkan Engkau)

PERALATAN

Untuk mengiringi satu-satu persembahan rodat, kumpulan pengadi akan menggunakan sejenis alat muzik yang dikenali sebagai tar rodat. Tar diperbuat daripada sejenis kayu yang dikenali sebagai kayu leban. Manakala bahagian permukaaan yang dipalu pula dihasilkan daripada kulit kerbau.



Warisan kesenian rodat telah meniti satu zaman pertumbuhan, perkembangan serta perubahan yang amat panjang, iaitu lebih daripada satu abad yang lalu.Ciri-ciri keunikan rodat yang tersendiri sememangnya sukar ditandingi, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan kesenian moden hari ini. Justeru, tidak hairanlah jika persembahan rodat masih bertahan serta masih mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat khususnya di negeri Terengganu Darul Iman hingga ke saat ini.Oleh itu, bagi memelihara seni tradisi yang sangat unik ini, marilah kita bersama-sama menghayati serta menjadikannya hiburan utama agar ia tidak ditelan dek peredaran zaman.