Thursday, April 22, 2010

KENALI TERENGGANU

Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan, manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang.

Keluasan negeri Terengganu sekarang kira-kira 1,295,638.3 hektar atau 1.295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara ( Besut ) ke selatan ( Kemaman ). Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu ; Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut Dan Setiu. Daerah dalam Negeri Terengganu dikurangkan kepada enam: Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu Dan Besut. Kemudiannya pada 1 januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu telah dibentuk dan menjadikan ketujuh di negeri Terengganu. Tiap-tiap daerah ini di tadbirkan oleh Pegawai Daerah. Keluasan daerah tersebut : Kuala Terengganu,60,654.3 hektar ; Kemaman, 253,559.9 hektar ; Dungun, 273,503.1 hektar ; Marang, 66,654.3 hektar ; Hulu Terengganu, 387,462.6 hektar ; Setiu, 130,436.3 dan Besut, 123,367.8 hektar.Ibu negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu. Kegiatan utama ekonomi di negeri Terengganu ialah perikanan serta hasil petrolium yang menguatkan lagi ekonomi negeri.